Images
  • enterprise sg
    Pengerusi Enterprise Singapore Peter Ong (kiri) dan Ketua Pengawai Eksekutif Png Cheong Boon. 

Enterprise Singapore bantu 76,000 firma pada 2018

SINGAPURA: Enterprise Singapore menghadapi tahun mencabar pada 2018, di tengah-tengah sekitaran ekonomi yang tidak menentu di luar negara.

Sungguhpun begitu Enterprise Singapore menyatakan hari ini (14 Mar) bahawa ia berjaya "mencapai kemajuan baik" dengan membantu 76,000 syarikat tempatan pada peringkat pertumbuhan dan keupayaan perniagaan berbeza-beza pada 2018.

Ini meliputi pelbagai jenis bantuan dari "perbincangan mendalam hinggalah pertanyaan umum", kata Ketua Pegawai Eksekutif Png Cheong Boon. Rakan-rakan kerjanya sudah mendampingi sekitar 30,000 syarikat di Pusat-Pusat SME menerusi bengkel-bengkel dan nasihat perniagaan.

Perangkaan itu didedahkan dalam laporan penilaian tahunan agensi berkenaan - iaitu yang pertama sejak ia ditubuhkan tahun lalu, menyusuli penggabungan antara SPRING Singapore dengan IE Singapore.

Tahun lalu, Enterprise Singapore menyokong 7,000 projek membangun keupayaan. Apabila dilaksanakan kelak, projek-projek tersebut dijangka akan menjana nilai tambah ekonomi sebanyak S$10.2 bilion dan mewujudkan 10,500 pekerjaan mahir.

Selain itu, ia juga menyokong lebih banyak projek yang dijalankan di luar negara pada 2018, naik 25 peratus kepada 570 projek. Separuh daripada projek itu adalah di China dan Asia Tenggara.

Kesemua projek tersebut dijangka meraih hasil penjualan luar negara sekitar S$11.1 bilion dan pelaburan luar negara sebanyak S$6.1 bilion.

Lebih 1,000 syarikat pemula juga memanfaatkan Program-Program Startup SG dan rakannya bagi mendapatkan bantuan.

"Banyak yang sudah kami lakukan dalam tahun pertama Enterprise Singapore, namun bukan tanpa cabaran," kata Encik Png.

Agensi Pemerintah baru itu perlu "pada masa yang sama, menangani perubahan serta isu peralihan dan penyepaduan yang terbit daripada penggabungan tersebut. Ia juga menghadapi situasi tidak dapat memenuhi apa yang dijangkakan."

Memandang ke hadapan, Enterprise Singapore akan memberi tumpuan kepada "tiga keutamaan penting dan saling mengukuhkan" selepas menjalankan penilaian semula terhadap strategi-strateginya.

Ini termasuk mengambil pendekatan lebih "tertumpu" untuk membantu syarikat-syarikat tempatan meningkatkan daya penghasilannya, memperkukuhkan inovasi dan mempercepat proses menembusi pasaran-pasaran antarabangsa.

Pengurus Enterprise Singapore Peter Ong mengakui bahawa tiga bidang itu bukanlah baru, namun menurutnya agensi berkenaan akan mengambil pendekatan berbeza.

Menyentuh mengenai penggunaan teknologi, agensi itu akan memberi tumpuan kepada lebih banyak "inovasi ditentukan pasaran" dengan huraian teknologi dihasilkan berdasarkan peluang dan masalah yang dihadapi oleh para pemain industri tempatan dan pasaran lain.

Mengenai usaha membantu syarikat-syarikat meneroka pasaran luar negara pada peringkat lebih awal perniagaan mereka, Enterprise Singapore menyatakan ia akan meningkatkan usahanya untuk membantu lebih banyak SME membangunkan keupayaan yang diperlukan, dan menghubungkannya dengan rangkaian sokongan di pasaran-pasaran tersebut.

- CNA/AI/ai

Top