Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Empat rakan cipta peluang pekerjaan sendiri, tubuhkan kedai makan di tengah cabaran COVID-19

Cabaran pandemik COVID-19 menjejas ramai rakyat Singapura khususnya dalam soal pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Cabaran pandemik COVID-19 menjejas ramai rakyat Singapura khususnya dalam soal pekerjaan.

Para pemilik kedai makanan Barat, Brostern, juga tidak dapat lari daripada cabaran itu, malah terpaksa mengharungi pelbagai rintangan.

Namun, mereka bertekad untuk tidak berpeluk tubuh dan merungut sahaja, tetapi bersama-sama menyingsing lengan untuk mencipta peluang ekonomi untuk diri sendiri.

Mereka melawan arus pandemik dan sebaliknya membuka cawangan baru semasa musim COVID-19 ini.

BANGKIT LEBIH TEGUH DARIPADA TEMPIAS KESAN COVID-19

Muhd Roimy Kassim, 27 tahun, gagal mendapat pekerjaan tetap sejak bulan April selepas beliau lulus dari Politeknik Ngee Ann dalam jurusan penerbangan.

Muhd Khairul Sulaiman, juga 27 tahun, pula pernah bekerja di sebuah kedai makan, namun ia terpaksa gulung tikar apabila COVID-19 melanda di negara ini.

Sementara itu, dua lagi rakan mereka Mohammad Faliq Nin Ahmad, dan "Ahmad" pula di ambang diberhentikan kerja bulan depan atau tiada kerja buat masa ini ekoran kesan COVID-19.

Dengan berkongsi modal S$3,000 setiap seorang, mereka membuka sebuah kedai makanan Barat bernama Brostern di Pusat Penjaja Ci Yuan di Hougang.

"Sejak COVID-19, kita memang terjejas. Kita empat orang rancang untuk buka kedai jual makan sebab kita tahu makanan tak akan putus kalau ia murah, sedap. Sesiapa akan datang," kata Khairul.

BROSTERN JUAL MAKANAN BARAT SEMURAH S$5

Para pelanggan menjamu selera daripada kedai makanan barat bernama Brostern di Pusat Penjaja Ci Yuan di Hougang. 

Berbekalkan strategi perniagaan "murah dan sedap" itulah, mereka menjual makanan Barat semurah S$5 dan tidak melebihi S$7 sepinggan.

Roimy berkata: "Semua kita tetapkan harga murah jadi keuntungan memang sikit. Kalau kita punya pelanggan lebih ramai daripada kedai lain, kalau mereka dapat dua kita dapat enam, kita tetap dapatkan keuntungan di sana.

Dengan harga murah, mereka menyasar untuk menarik pelanggan muda yang belum bekerja serta pelanggan berulang.

Satu lagi sebab empat sekawan itu menjual murah adalah kesedaran bahawa mereka juga mahu golongan yang dibuang kerja atau terjejas dengan kesan COVID-19, turut dapat membeli makanan pada harga rendah.

(Gambar: Brostern/Instagram)

Ternyata falsafah perniagaan mereka sudah membuahkan hasil cukup memuaskan walaupun kedai itu sangat baru dan belum pun sebulan dibuka.

"Sejauh ini alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan kami tidak menjangkakan orang ramai ini. Dari hari pertama, kita tidak jangka akan raih banyak untung seperti sekarang kami dapat sekitar S$800 hingga S$900 tidak termasuk kos walaupun kami sasarkan S$400 hingga S$500 sehari sebenarnya," jawab Roimy apabila ditanya berkenaan keuntungan yang diraih.

Kini, peniaga-peniaga muda itu sudahpun merancang mahu membuka satu lagi cawangan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Kejayaan awal mereka juga nampaknya sudah membuahkan rancangan jangka panjang - mereka mahu membuka empat gerai kesemuanya - setiap satu di Timur, Barat, Selatan dan Tengah Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan