Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ELIT SURIA: Inilah antara bakal wajah-wajah baru yang akan hiasi TV SURIA

Lapan lelaki dan wanita itu adalah antara 16 peserta yang dipilih bagi bertanding dalam rancangan realiti terbaru, yang dipanggil ELIT SURIA. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kumpulan pertama bakat generasi muda sudahpun memulakan perjalanan mereka untuk menjadi personaliti baru Suria.

Lapan lelaki dan wanita itu adalah antara 16 peserta yang dipilih bagi bertanding dalam rancangan realiti terbaru, yang dipanggil ELIT SURIA.

ELIT SURIA mencari bakat baru dari generasi masa kini yang memiliki faktor X bagi menerajui rancangan-rancangan dan platform digital Suria.

ELIT SURIA mula disiarkan secara langsung pada Isnin (9 Jul). Setiap minggu, para peserta akan diadili dalam segmen pengacaraan, gaya, personaliti dan faktor X menerusi siri soal jawab dan kuiz.

Para peserta kumpulan A ELIT SURIA. (Gambar: Facebook/ Mediacorp Suria)

BUKAN SETAKAT RUPA SAHAJA

Para peserta, yang berusia antara 19 dengan 27 tahun, itu adalah antara lebih 300 peserta disaring dalam sesi uji bakat sebelum ini. Mereka dipilih kerana berjaya menawan hati para pengadil dengan personaliti dan kewibawaan masing-masing.

Bukan setakat rupa, para peserta itu juga terus menimba ilmu dan pengetahuan. Tidak kurang menarik, ramai peserta sebenarnya masih lagi menuntut di institusi-institusi pendidikan tinggi di sini.

Menurut pengadil ELIT SURIA, Najip Ali, pertandingan realiti itu merupakan satu platform yang penting bagi mencari bakat-bakat generasi baru.

Para pengadil ELIT SURIA. (Gambar: Facebook/ Mediacorp Suria)

"Di sinilah nanti kita lihat bagaimanakah corak dan warnanya pelapis-pelapis yang akan datang. Lihat apakah perbezaan pelapis-pelapis ini, artis-artis ini, pengacara-pengacara yang mungkin berlainan daripada kita yang dah lama ni," kata Najip.

FAKTOR-FAKTOR YANG PERLU DIMILIKI PESERTA

Menyentuh mengenai faktor yang perlu dimiliki oleh para peserta, seorang lagi pengadil ELIT SURIA, Khairudin Saharom, berkata: "Seorang personaliti TV yang berwawasan, berwibawa, haruslah mempunyai kejujuran. Saya rasa ini merupakan satu faktor yang sukar untuk dicam, tetapi bagi saya, kejujuran dan keikhlasan sebagai seorang pengacara atau personaliti itu amatlah penting untuk menjamin kebertahanan personaliti itu.

"Ini kerana apa yang kita cari dalam ELIT SURIA ini bukan setakat pelapis, bukan setakat pengganti. Malah, personaliti yang mengisi ruang yang kosong, yang mungkin kita tidak sedar ada ruang ini di persada seni Singapura."

Sementara itu, pengadil ELIT SURIA, Nuraliza Osman, pula mengongsi bahawa "adalah penting untuk seseorang personaliti itu mempunyai pendapat dan pengetahuan tentang hal ehwal semasa". Ini kerana mereka, ujar beliau, "merupakan wakil-wakil masyarakat kita di Singapura".

Antara peserta ELIT SURIA. (Gambar: Facebook/ Mediacorp Suria)

Antara peserta ELIT Suria. (Gambar: Facebook/ Mediacorp Suria)

Orang ramai juga berpeluang mengundi untuk peserta-peserta kegemaran mereka menerusi akaun instagram Suria.

Dua juara pertandingan realiti ini - seorang lelaki dan seorang wanita - bakal memenangi hadiah wang tunai $10,000.

ELIT SURIA akan disiarkan secara langsung pada setiap Isnin, 8.30 malam di Suria. Siaran langsung bagi peringkat terakhir pula akan disiarkan pada Isnin, 27 Ogos, pada 8.30 malam.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan