Images
  • solat masjid ar-raudhah 2
    (Gambar fail: AFP)

'Elakkan tempat-tempat sesak - termasuk masjid-masjid - jika anda kurang sihat' - MUIS

SINGAPURA: "Elakkan tempat-tempat sesak - termasuk masjid-masjid - jika anda kurang sihat."

Demikian nasihat dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) kepada masyarakat Islam tempatan, sedang bilangan kes virus korona baru yang disahkan, kini meningkat kepada tiga orang di Singapura.

Bilangan yang disyaki dijangkiti virus itu juga meningkat kepada 44 orang semalam (24 Jan) - hampir seganda lebih tinggi berbanding bilangan rasmi yang didedahkan pada Khamis (23 Jan).


Menulis di laman Facebooknya pada Jumaat (24 Jan) MUIS menekankan bahawa "sebagai orang Islam, kita harus sentiasa berusaha untuk mengekalkan tahap kebersihan diri yang baik", "berwaspada dan menjaga diri serta orang-orang yang tersayang" di tengah-tengah penularan virus Wuhan di sini.

Menurut catatan penguasa Islam Singapura itu lagi, langkah berwaspada juga sedang diambil sekolah-sekolah madrasah.

"Madrasah-madrasah kita akan terus mengambil langkah-langkah berjaga-jaga demi memasatikan keselamatan dan kesejahteraan para pelajar serta kakitangan," menurut MUIS. "Para pelajar dan kakitangan dinasihatkan agar mengisytiharkan rancangan perjalanan mereka sepanjang hujung minggu Tahun Baru Cina ini."

Langkah tersebut sudahpun diambil oleh Kementerian Pendidikan (MOE) bagi sekolah-sekolah pemerintah.

MUIS turut mengajak masyarakat agar bertenang dan mengamalkan sikap saling menjaga antara satu sama lain, selain mendapatkan rawatan perubatan jika mendapati diri sendiri tidak sedap badan.

"Semoga Allah s.w.t menganugerahkan kita keselamatan dan kesihatan yang baik, Ameen," bunyi perenggan terakhir catatan MUIS itu. 

- BERITAmediacorp/tq

Top