Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Elak buang pekerja; berunding dulu dengan kesatuan sekerja: NTUC

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akur bahawa para pekerja antara lain berdepan dengan potongan gaji yang besar tahun ini, namun menggesa syarikat-syarikat supaya tidak memberhentikan para pekerja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akur bahawa para pekerja antara lain berdepan dengan potongan gaji yang besar tahun ini, namun menggesa syarikat-syarikat supaya tidak memberhentikan para pekerja.

Para pemimpin kesatuan menyeru demikian setelah Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengesahkan bahawa Singapura akan mengalami kemelesetan ekonomi dan ini akan mengakibatkan pembuangan pekerja dan pemotongan gaji.

JANGKA POTONGAN GAJI YANG BESAR

NTUC menyatakan, buat masa ini majikan-majikan yang ada kesatuan sekerja akan berusaha mengekalkan para pekerja sepenuh masa masing-masing dengan gaji yang sama.

Namun ia akur industri-industri yang teruk terjejas dengan kesan COVID-19 seperti penerbangan, pelancongan, F&B, serta runcit akan sukar berbuat demikian.

"Pekerja-pekerja boleh menjangkakan pemotongan gaji mungkin agak besar, tapi yang penting NTUC berpendapat sebelum sebarang pemotongan gaji dijalankan amatlah penting bagi syarikat-syarikat ini untuk berunding dengan kesatuan sekerja supaya kita boleh melihat apakah cara-cara lain yang mereka boleh gunakan untuk mengelakkan daripada potongan gaji yang besar," kata Penolong Setiausaha Agung NTUC Encik Zainal Sapari.

Selain pemotongan gaji, langkah-langkah pengurangan kos yang dijangka dilakukan syarikat-syarikat yang mengalami tekanan kos operasi ialah melaksanakan cuti tanpa gaji, mengurangkan hari bekerja atau terus memberhentikan pekerja masing-masing.

Pilihan terakhir itulah yang para pemimpin kesatuan harap tidak diambil para majikan.

MANFAATKAN BANTUAN PEMERINTAH

Setiausaha Umum Kesatuan Sekerja Tenaga dan Gas, Encik Samad Abdul Wahab mengajak syarikat-syarikat memanfaatkan sepenuhnya bantuan Pemerintah seperti menghantar pekerja menjalani latihan peningkatan kemahiran.

"Semua sudah ada di depan mata, jadikan potongan gaji yang kedua terakhir dan buang kerja yang terakhir.

"Jangan jadikan ini sebagai perkara pertama, apa orang kata perniagaan tidak bagus, buang pekerja. Sebab untuk melatih kerja untuk menjadi pekerja yang berwibawa ia memerlukan masa dan kewangan," kongsinya.

Namun demikian, Encik Zainal mengakui bahawa pemberhentian pekerja dan potongan gaji kerana COVID-19 sudah mula berlaku dan mungkin meningkat pada masa akan datang.

"Malangnya, ada ramai pekerja Melayu disektor-sektor yang terjejas teruk seperti pelancongan, runcit dan perkhidmatan tertentu.

"Saya ingin menggesa pekerja-pekerja Melayu kita yang terjejas mendapatkan bantuan mencari pekerjaan di pameran kerja maya yang ada diselenggarakan oleh e2i dan WSG," tekannya.

MAS semalam menyatakan, ekonomi Singapura dijangka mengecut "dengan lebih mendalam" pada suku kedua tahun ini dan sekitarannya pula "tidak menentu". 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan