Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Eksport S'pura naik 9.4% pada suku kedua

Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura melonjak 9.4 peratus pada suku kedua tahun ini, dipacu oleh eksport bukan elektronik, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh agensi perdagangan Enterprise Singapore pada Isnin (13 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Eksport S'pura naik 9.4% pada suku kedua

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 13 Aug 2018 10:49AM Dikemas Kini : 13 Aug 2018 10:58AM

SINGAPURA: Eksport domestik bukan minyak (NODX) Singapura melonjak 9.4 peratus pada suku kedua tahun ini, dipacu oleh eksport bukan elektronik, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh agensi perdagangan Enterprise Singapore pada Isnin (13 Ogos).

Ini selepas ia mencatat pertumbuhan 1.1 peratus pada suku sebelumnya.

Eksport bukan elektronik meningkat 16.6 peratus, meneruskan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus yang dicatatkan pada suku pertama. Penyumbang terbesar kepada peningkatan eksport bukan elektronik adalah persiapan makanan, bahagian perkakas kejuruteraan awam dan farmaseutikal.

Penghantaran elektronik bagaimanapun merosot 7.6 peratus menyusuli kejatuhan 7.9 peratus pada suku pertama, menurut Enterprise Singapore.

Litar bersepadu (IC), komponen komputer peribadi (PC), serta diod dan transistor masing-masing merosot 11.3 peratus, 36.3 peratus dan 15.2 peratus, menyebabkan kejatuhan pada penghantaran elektronik.

Berdasarkan perbandingan dari suku ke suku, NODX tumbuh 7 peratus selepas mengalami kemerosotan 2.6 peratus pada suku pertama tahun ini.

Secara keseluruhannya, eksport kepada pasaran-pasaran utama Singapura meningkat pada suku kedua. Ini meskipun penghantaran ke Korea Selatan, Taiwan, Malaysia, Thailand dan China merosot. Penyumbang terbesar kepada NODX adalah Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Indonesia, dengan masing-masing mencatat peningkatan 48.2 peratus, 41.1 peratus dan 14.2 peratus.

Keseluruhan perdagangan barangan Singapura tumbuh 10.2 peratus berbanding peningkatan 2.5 peratus pada suku sebelumnya. Ia juga didorong oleh peningkatan 5.7 peratus pada eksport semula bukan minyak dan dipacu oleh penghantaran yang lebih tinggi bagi eksport semula bukan elektronik.

Apabila ditanya mengenai ramalan bagi keseluruhan perdagangan dan NODX 2018 yang dinaikkan, seorang pegawai Enterprise Singapore berkata ia disebabkan oleh prestasi yang lebih baik daripada yang dijangkakan pada separuh pertama tahun ini serta kenaikan yang "ketara" pada harga minyak.

Ramalan itu juga mengambil kira risiko kemerosotan ekonomi seperti ketegangan perdagangan yang mungkin menjejas aliran perdagangan dan ramalan ekonomi sejagat.

Ramalan perdagangan oleh Pemerintah bagi sepanjang 2018 dinaikkan kepada antara 5 hingga 6 peratus, manakala ramalan pertumbuhan NODX bagi tahun ini dinaikkan kepada antara 2.5 hingga 3.5 peratus.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan