Images
  • NODX
    Sebuah pelabuhan Singapura. (Gambar: ROSLAN RAHMAN/AFP)

Eksport S'pura jatuh 15.2% pada suku kedua 2020

SINGAPURA: Perdagangan barang niaga di Singapura merosot sebanyak 15.2 peratus pada suku kedua 2020 selepas mencatat pertumbuhan kecil sebanyak 0.5 peratus pada suku sebelumnya.

Data rasmi yang dikeluarkan oleh Enterprise Singapore pada Selasa (11 Ogos) turut mendedahkan bahawa perdagangan bukan minyak merosot 3.3 peratus setelah meningkat 4.4 peratus pada suku sebelumnya.

Perdagangan minyak merosot dengan ketara pada suku kedua, iaitu sebanyak 61.9 peratus, berbanding kemerosotan 15.9 peratus pada suku pertama.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, keseluruhan perdagangan barang niaga merosot 14.3 peratus pada suku kedua 2020 setelah mencatat kenaikan 0.1 peratus pada suku sebelumnya.

Perdagangan bukan minyak pula merosot 7.7 peratus, sementara perdagangan minyak menguncup 50.6 peratus.

Berdasarkan perbandingan dari tahun ke tahun pula, eksport bukan minyak (NOX), yang termasuk eksport domestik bukan minyak (NODX) dan eksport semula bukan minyak (NORX), ia merosot 1.7 peratus pada suku kedua 2020 menyusuli pertumbuhan 3.8 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Berdasarkan penyesuaian musiman dari suku ke suku, NOX merosot 6.7 peratus setelah naik 2.3 peratus pada suku sebelumnya.

NODX mencatat pertumbuhan 6.5 peratus pada suku kedua berbanding setahun lalu, menyusuli peningkatan 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

Sebahagian besar pertumbuhan NODX disebabkan oleh sektor bukan elektronik, menurut Enterprise Singapore.

UNJURAN DINAIKKAN

Unjuran dinaikkan bagi kedua-dua perdagangan barang niaga (-10% hingga -8%) dan NODX (3% hingga 5%), di tengah-tengah prestasi lebih baik daripada yang dijangkakan bagi produk-produk tertentu seperti emas bukan kewangan, farmaseutikal dan elektronik.

Meskipun ramalan ekonomi sejagat masih tidak menentu, perdagangan sejagat tidak mungkin akan mencapai senario paling buruk iaitu penguncupan 32 peratus yang sebelum ini diramalkan oleh Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) pada April 2020, menurut Enterprise Singapore.

Ini disebabkan oleh tindak balas pantas pemerintah dalam menangani kemerosotan mendadak yang berlaku pada separuh pertama 2020. 

- CNA/HA/ha

Top