Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

EKSKLUSIF: Masjid Sultan jadi masjid pertama sedia tempat tidur bagi golongan gelandangan

Tidak lama lagi, Masjid Sultan akan menyediakan ruang khas bagi orang-orang gelandangan atau tiada rumah, untuk berehat dan tidur pada waktu malam dalam pekarangannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tidak lama lagi, Masjid Sultan akan menyediakan ruang khas bagi orang-orang gelandangan atau tiada rumah, untuk berehat dan tidur pada waktu malam dalam pekarangannya.

Ia sekali gus menjadikan Masjid Sultan sebagai masjid pertama di Singapura yang menyediakan khidmat dan kemudahan seumpama itu.

BERITAmediacorp diberitahu secara eksklusif, individu gelandangan yang tiada tempat berteduh boleh menggunakan bilik khas itu antara jam 10.00 malam hingga 7.00 pagi pada keesokan harinya.

"Di samping masjid sebagai tempat beribadah untuk umat Islam, Masjid Sultan juga merasakan amat bertanggungjawab untuk membantu golongan tersebut," kata Pegawai Pembangunan Sosial Masjid Sultan, Encik Muhammad Aizuddin Jamaludin, kepada kami.

DI SUDUT MANA DALAM KAWASAN MASJID?

Ruang atau bilik yang disediakan bagi golongan itu bukan terletak dalam dewan solat atau bangunan utama masjid. Tetapi ia terletak di Bangunan Tambahan (Annex Building) Masjid Sultan. Lebih tepat lagi, ia adalah sebuah bilik dalam dewan serbaguna di besmen Bangunan Tambahan itu.

Berita ini semestinya satu lagi perkembangan cukup bersejarah bagi masjid yang berusia hampir 200 tahun ini, yang secara tidak rasmi dikenali sebagai 'masjid negara' Singapura.

"Isu gelandangan ini kian meningkat di Singapura. Masjid Sultan berasa bertanggungjawab untuk menyediakan tempat tidur yang selamat dan selesa untuk golongan ini sementara mereka menunggu atau mencari tempat tinggal yang tetap," jelas Encik Muhammad Aizuddin.

"Mereka hanya perlu berjumpa dengan pegawai keselamatan dan mendaftarkan diri sebelum dibawa ke ruang berkenaan."

Pihak Masjid Sultan memberi jaminan bahawa keselamatan masjid langsung tidak dikompromi. Ini kerana individu gelandangan itu tidak memasuki ruang yang dikhususkan buat mereka di pekarangan masjid itu menerusi pintu-pintu depan atau utama. Sebaliknya mereka mengakses bilik berkenaan menerusi bahagian tepi masjid yang menghadap Kandahar Street (bertentangan dengan Taman Warisan Melayu).

(Pihak masjid menunjukkan akses ke tempat tidur yang disediakan.) 

Dengan cara ini juga, kehadiran golongan memerlukan itu, sama sekali tidak mengganggu operasi mahupun para jemaah masjid yang lain.

Inisiatif itu sebenarnya merupakan usaha di bawah satu kolaborasi antara Masjid Sultan dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

APA YANG DISEDIAKAN?

Semasa BERITAmediacorp berkunjung ke masjid tersebut, pegawai masjid membawa wartawan kami melihat-lihat tempat tidur yang disediakan. Bilik atau ruang itu cukup luas untuk menampung sehingga lima orang.

Tikar dibentang. Tilam dan bantal baru disediakan. Di satu sudut pula, ada minuman dalam botol yang boleh diambil secara percuma. Kipas juga dipasang. Bilik tersebut memang bersih dan selesa untuk sesiapa sahaja yang ingin berehat daripada embun dan hujan.

Malah, mereka juga tidak akan berdepan dengan risiko menjadi mangsa tindakan jenayah kerana pintu ruang itu akan dikunci pegawai keselamatan.

"Ia cara kami menambah nilai perkhidmatan bantuan sosial yang disediakan," kata Encik Aizuddin.

HANYA BANTU GELANDANGAN LELAKI BUAT MASA INI, MUSLIM ATAU BUKAN MUSLIM

Buat masa ini, Masjid Sultan hanya akan membantu gelandangan lelaki tempatan sahaja dan tidak mengambil gelandangan wanita. Ini kerana keterbatasan-keterbatasan yang ada termasuk tidak boleh mencampurkan orang lelaki dan perempuan dalam bilik yang sama.

Namun demikian, ia bersedia mengambil gelandangan lelaki Muslim atau bukan Muslim - tidak kira bangsa. Pihak masjid juga memberitahu BERITAmediacorp, ia tidak menolak kemungkinan memperluaskan inisiatif ini pada masa hadapan.

Penggunaan ruang tidur itu bagaimanapun ada syarat-syaratnya.

Setiap individu hanya dibenarkan menginap dalam kemudahan masjid tersebut selama beberapa malam sahaja. MSF kemudian akan menghubungkan mereka kepada agensi-agensi Pemerintah atau perkhidmatan-perkhidmatan sosial lain untuk membantu mereka mendapat tempat tinggal.

Antara pilihan yang ditawarkan lazimnya adalah rumah sewa, rumah tumpangan atau tempat perlindungan sementara.

SATU-SATUNYA MASJID DI BAWAH RANGKAIAN PEERS MSF

Usaha murni ini sebenarnya dijalankan di bawah Rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (Partners Engaging and Empowering Rough Sleepers Network atau PEERS).

Rangkaian itu ditubuhkan pada lewat 2017 oleh MSF bagi membolehkan pihaknya berganding bahu dengan pelbagai kumpulan masyarakat untuk membantu golongan gelandangan. Rangkaian itu kini dianggotai 26 pertubuhan.

Usaha yang dijalankan cukup pelbagai - dari mendekati golongan gelandangan di jalanan pada waktu malam agar mereka lebih tahu tentang bantuan-bantuan yang disediakan, sehinggalah kepada menyediakan penjagaan menyeluruh supaya pendekatan yang selaras dapat diambil.

Komitmen menyediakan tempat tidur seperti ini hanya disahut enam anggota rangkaian itu. Masjid Sultan dan Yio Chu Kang Chapel akan menyertainya pada suku keempat tahun 2019 ini. Masjid Sultan juga merupakan satu-satunya badan agama Islam menyertai rangkaian tersebut. Tarikh setepatnya kemudahan itu beroperasi belum dapat diumumkannya buat masa ini.

Masjid Sultan yang selesai menjalani kerja naik taraf. (Gambar: Ngau Kai Yan)

Tempat-tempat lain yang sudah membuka pintunya untuk gelandangan tahun ini ialah: Church of Christ the King di Ang Mo Kio (2018), Church of St Mary of the Angels di Bukit Batok (April 2019), New Hope Community Services di Jalan Kukoh (Mei 2019), Kuil Buddha Tooth Relic di Chinatown (Jun 2019) dan Prinsep Street Presbyterian Church dan Toa Payoh Methodist Church (Sep 2019).

Mengulas tentang pendekatannya bekerjasama dengan pertubuhan agama bagi menangani isu gelandangan, MSF menyatakan bahawa ini menunjukkan bahawa pihaknya mengalu-alukan inisiatif yang diterajui masyarakat.

"Kami mendapati, apabila golongan gelandangan mendapat rehat secukupnya, mereka lebih terbuka untuk menangani masalah yang dihadapi, lebih terbuka untuk bekerja dan menerima bantuan daripada badan-badan yang sedia ada," kata Penolong Pengurus Besar (Khidmat Serantau) MSF, Encik Mohamad Jusri Bahrom.

Langkah ini juga membolehkan MSF untuk mengesan dan mendekati golongan memerlukan itu dengan lebih cekap.

GELANDANGAN ISU SOSIAL KOMPLEKS

Menurut MSF, PEERS setakat ini sudah berjaya mendekati sekitar 160 orang gelandangan dan membantu 65 daripada mereka untuk menghuraikan isu perumahan secara jangka panjang. Lagi 37 gelandangan lain pula sudah dipindahkan ke tempat tinggal sementara.

Awal bulan ini, satu kajian oleh Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew mendapati terdapat sekitar 1,000 gelandangan di Singapura. Ia merupakan satu-satunya kajian yang meninjau isu itu. Mereka biasanya tidur di tempat-tempat awam seperti dewan serba guna kawasan perumahan HDB, tempat letak kereta, kemudahan-kemudahan yang dibuka selama 24 jam, dan kawasan terbuka yang selamat.

(Illustrasi: NUS)

Orang-orang gelandangan dilaporkan paling ramai merempat di kawasan Bedok, Kallang dan Bandar - dengan setiap kawasan mempunyai lebih 50 orang yang hidup di jalanan.

MSF menjelaskan bahawa masalah gelandangan sememangnya adalah "isu sosial kompleks yang menghalang mereka daripada mendapat atau mengekalkan tempat tinggal yang tetap".

Antara punca sesetengah mereka hidup merempat termasuklah penceraian dan beban hutang. Ada yang hidup melarat tanpa sebarang sokongan keluarga dan tidak mampu hidup berdikari.

Namun tidak semua yang hidup merempat tidak mempunyai tempat tinggal. Sebilangan gelandangan dilaporkan mencari tempat perlindungan daripada penderaan, sementara yang lain tidak mahu pulang ke rumah kerana berlaku konflik keluarga atau ingin tinggal berdekatan dengan tempat kerja.

Yang pasti, MSF menyatakan pihaknya merancang meluaskan PEERS ke lebih banyak lokasi di negara ini demi mendekati lebih ramai gelandangan yang memerlukan. Ia juga akan mendekati lebih banyak badan-badan masyarakat yang lain supaya menyertai PEERS.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan