Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ekonomi negara dijangka pulih pada 2021; pemerintah sedia lakukan lebih lagi jika perlu - DPM

Pemerintah sedia melakukan lebih lagi untuk membantu perniagaan dan pekerja di tengah-tengah pandemik sekarang, jika perlu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ekonomi negara dijangka pulih pada 2021; pemerintah sedia lakukan lebih lagi jika perlu - DPM

DPM Heng dalam rancangan Ask The Finance Menteri, 21 Feb 2021. (Gambar: Petikan dari video)

Diterbitkan : 21 Feb 2021 09:49PM Dikemas Kini : 21 Feb 2021 09:52PM

SINGAPURA: Pemerintah sedia melakukan lebih lagi untuk membantu perniagaan dan pekerja di tengah-tengah pandemik sekarang, jika perlu.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat memberikan jaminan ini, sambil menambah bahawa meskipun ketidakpastian masih tetap ada, beliau menjangkakan ekonomi negara akan pulih tahun ini.

Encik Heng berkata demikian dalam rancangan Ask The Finance Menteri (Tanya Menteri Kewangan), satu forum bersama empat warga Singapura mengenai Belanjawan 2021.

"Tumpuan Belanjawan kali ini ialah untuk bangkit lebih kukuh. Saya telah mengetepikan S$20 bilion sepanjang tempoh tiga tahun akan datang untuk melihat bagaimana kita dapat mempercepat transformasi ekonomi kita," kata Encik Heng yang juga Menteri Kewangan.

"Adakah lebih banyak lagi perlu dilakukan kemudian? Ia sebenarnya bergantung kepada keadaan keseluruhannya. Tetapi senario utama kami ialah: jika program vaksinasi global ini terus berjalan, meskipun masih tetap wujud ketidakpastian, kami mungkin akan masih melihat pemulihan yang baik pada tahun 2021."

Bagi tujuan itu, Encik Heng berkata beliau berharap syarikat-syarikat akan memanfaatkan Insentif Pertumbuhan Pekerjaan.

Sebanyak S$5.2 bilion diperuntuk untuk melanjutkan skim itu selama tujuh bulan lagi.

Skim tersebut memberi sokongan gaji kepada syarikat supaya mengambil pekerja tempatan.

Encik Heng menggesa syarikat yang dapat terus menggajikan pekerja, supaya terus melakukannya.

Beliau menjelaskan bahawa pekerjaan akan berubah dalam beberapa bulan dan tahun akan datang. Maka itu penting bagi pekerja untuk dapat menjalankan peranan baru tersebut.

"Jika berlaku pertumbuhan yang baik, maka sayang sekali jika masa sekarang ini tidak dimanfaatkan untuk mengambil pekerja baru. Pada masa yang sama, jika pekerja itu, semasa beliau diambil bekerja, dapat menyesuaikan diri dalam syarikat tersebut sepanjang beberapa bulan akan datang, tidak lama lagi mereka akan dapat melakukan pekerjaan secara produktif, dan menambah pendapatan syarikat," ujar Encik Heng.

"Dengan cara itu, beliau akan terima bayaran, dan syarikat juga meraih faedah kerana mengambilnya bekerja. Kami memanfaatkan masa ini untuk mempercepat pengambilan pekerja bagi syarikat yang boleh mengambil pekerja, supaya pertumbuhan mereka tidak terhambat selama beberapa bulan akan datang," tambahnya.  

Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan