Ejen hartanah terajang polis alami gangguan akibat trauma
Seorang ejen hartanah yang meninggalkan majlis perkahwinan dalam keadaan mabuk, bertengkar dengan sesetengah tetamu dan menendang seorang pegawai polis pada 2017 mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan gangguan yang ada kaitan dengan meminum arak, kata peguam belanya pada Selasa (11 Jun).
SINGAPURA: Seorang ejen hartanah yang meninggalkan majlis perkahwinan dalam keadaan mabuk, bertengkar dengan sesetengah tetamu dan menendang seorang pegawai polis pada 2017 mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dan gangguan yang ada kaitan dengan meminum arak, kata peguam belanya pada Selasa (11 Jun).
Dalam rayuan Rochelle Chow Shuting, para peguamnya berkata pakar psikiatriknya berpendapat anak guam mereka bertindak sedemikian "sekali sahaja" dan "bertentangan dengan perwatakannya", dan ia disebabkan oleh sakit jiwa.
Chow dijadual akan dijatuhkan hukuman pada Selasa tetapi Hakim Daerah Mathew Joseph mengarahkan supaya dia direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu untuk menjalani penilaian psikiatrik. Dia akan dihadapkan lagi ke mahkamah pada 25 Jun.
Dalam laporan bertarikh April tahun lalu, pakar psikiatrik berkenaan, Dr Ng Beng Yeong berkata Chow mula berasa sangsi terhadap orang-orang yang tidak dikenali dan menjadi "cenderung bertindak pantas terhadap pergerakan yang berlaku secara tiba-tiba di sekelilingnya", menyusuli satu insiden di sebuah kelab malam pada 2012 di mana dia "disambar oleh lelaki yang tidak dikenalinya".
Dalam insiden itu Chow mendakwa dia berasa takut dan cuba melawan balik tetapi lelaki itu datang kembali dengan membawa botol gelas. Dia tidak lagi mengunjungi kelab malam selepas insiden itu.
Secara berasingan, Chow juga mula meminum arak untuk melupakan satu insiden pada 2015, di mana dia rugi besar akibat seorang rakan niaga. Dia memberitahu Dr Ng bahawa dia akan lupa perkara-perkara yang berlaku setelah dia mabuk.
Peguam bela Chow, Josephus Tan, memberitahu mahkamah pada Selasa bahawa sejak dia melakukan kesalahan-kesalahan tersebut, Chow sudah menjauhi minuman keras dan lulus peperiksaan pentauliahan ejen hartanah.
Chow mengaku bersalah pada April atas satu tuduhan berkelakuan merusuh, mengganggu atau berkelakuan sumbang di tempat awam, dan satu lagi tuduhan menyebabkan kecederaan untuk mencegah kakitangan awam daripada menjalankan tugas.
Atas kesalahan berkelakuan merusuh, mengganggu atau berkelakuan sumbang di tempat awam, Chow boleh dikenakan denda hingga S$2,000, dipenjara hingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Secara berasingan, dia boleh dipenjara hingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali kerana menyebabkan kecederaan untuk menghalang kakitangan awam daripada menjalankan tugas.
Sedang pihak pendakwa meminta Chow dihukum penjara tiga bulan dan didenda S$1,000, Encik Tan meminta supaya anak guamnya dikenakan denda S$1,000 tanpa hukuman penjara.
TERPEKIK-PEKIK SELEPAS MAJLIS PERKAHWINAN
Insiden-insiden yang membawa kepada tuduhan-tuduhan terhadap Chow berlaku di tempat letak kereta di Hotel Parkroyal on Pickering pada sekitar 5.00 petang pada 13 Ogos 2017.
Mahkamah diberitahu bahawa sebaik sahaja Chow meninggalkan satu majlis perkahwinan, seorang pengawal keselamatan dikerah untuk mengawasinya kerana ada perselisihan antara Chow dengan beberapa orang tetamu.
Chow menaiki keretanya di tingkat tiga tempat letak kereta hotel itu. Namun apabila dia gagal mencari jalan keluar, dia keluar dari keretanya dan mula menjerit-jerit. Para anggota keluarganya yang hadir di situ tidak dapat memujuknya untuk berhenti daripada berbuat demikian.
Pengawal keselamatan tersebut, Encik Muhammad Hairul Abdul Halim, menghubungi polis untuk meminta bantuan sambil mengatakan bahawa Chow bertindak ganas di Parkroyal.
Apabila polis tiba di tempat kejadian, Chow terus menangis dan menjerit-jerit.
Polis kemudian memberkasnya, tetapi dia cuba melawan lalu menerajang seorang pegawai polis, Muhammad Taufiq Zainudin, 26 tahun, di paha kanan.
Pergelutan itu dirakam oleh kamera yang dipasang pada badan seorang lagi pegawai polis.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.