Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ejen hartanah dipenjara 2 bulan kerana pukul amah

Seorang ejen hartanah menampar pembantu rumahnya dari Filipina beberapa kali di pipinya kerana marah dengan tindakannya meminjam wang sebanyak S$1,000 daripada seorang pemiutang.

Anggaran Waktu Membaca:
Ejen hartanah dipenjara 2 bulan kerana pukul amah
Diterbitkan : 06 Dec 2018 10:35AM Dikemas Kini : 06 Dec 2018 10:37AM

SINGAPURA: Seorang ejen hartanah menampar pembantu rumahnya dari Filipina beberapa kali di pipinya kerana marah dengan tindakannya meminjam wang sebanyak S$1,000 daripada seorang pemiutang.

Ia bukan kali pertama Annie Loh Beem Hiang menampar pembantu rumahnya. Dia pernah melakukannya tiga kali sebelum ini - sekali kerana pembantu rumahnya mengambil sehiris keju kerana berasa lapar.

Pada Rabu (5 Dis), Loh, 55 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan dan diperintahkan untuk membayar ganti rugi sebanyak S$2,000.

Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan secara sengaja mencederakan Cik Chispa Sheira Mae, 25 tahun, dengan dua lagi tuduhan serupa dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Cik Chispa mula bekerja untuk Loh sejak Disember tahun lalu.

Empat bulan kemudian, Loh menyerangnya. Dia marah kerana Cik Chispa menggunakan terlalu banyak sabun untuk membersihkan masker kerana menurutnya sabun itu mahal. Loh lalu menumbuk kepalanya dengan buku lima.

Kali kedua, Loh memukul Cik Chispa kerana dia marah pembantu rumahnya tidak mengelap lantai dengan bersih. Tidak didedahkan bila kejadian itu berlaku.

Kemudian, antara sekitar 10 hingga 18 Mei tahun ini, Loh - yang mempunyai tabiat mengira kepingan keju dalam peti sejuk - bertanya Cik Chispa jika dia mengambil sekeping daripada keju tersebut.

Cik Chispa, yang sedang membasuh pinggan mangkuk pada waktu itu mengaku beliau memakan sekeping keju itu dengan roti kerana berasa lapar. Mendengarnya, Loh memukul

Cik Chispa di lengan. Setelah dipukul, Cik Chispa rasa lengannya menjadi kebas.

Sekitar seminggu kemudian, pada 25 Mei, Cik Chispa memberitahu Loh bahawa beliau meminjam sebanyak S$1,000 daripada pemiutang berlesen pada April. Tidak jelas, mengapa beliau memerlukan wang itu.

Loh kemudian memarahinya dan mengancam untuk menamatkan kontraknya dan menghantarnya pulang ke Filipina. Loh juga memberitahu Cik Chispa bahawa beliau perlu membayar balik wang yang dipinjam itu sebelum pulang ke negara asalnya.

Dua hari kemudian, pada hari cutinya, pembantu rumah itu bertanya kepada kawan-kawannya sekiranya mereka boleh meminjamkannya wang untuk beliau melangsaikan hutangnya. Beliau juga ke balai polis kerana takut akan diberkas atas kesalahan meminjam wang, bagaimanapun para pegawai polis memberitahunya bahawa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan. Cik Chispa pulang pada sekitar 4.00 pagi.

Pada petang hari itu, Loh terus memarahinya mengenai pinjaman itu dan menamparnya lebih lima kali di pipinya. Cik Chispa menghantar pesanan teks melalui telefon kepada adiknya, yang juga bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura dan meminta tolong.

Adiknya menelefon polis untuk membuat aduan. Cik Chispa pergi ke hospital tetapi doktor yang memeriksanya tidak mendapati sebarang bengkak atau luka di mukanya.

Pada 30 Mei, ketiga-tiga mereka berjumpa di agensi pembantu rumah di mana Loh bersetuju untuk melunaskan pinjaman Cik Chispa, bil perubatan sekitar S$110 dan tiket penerbangan pulangnya ke Filipina. Cik Chispa menandatangani persetujuan itu dengan Loh pada hari yang sama.

Loh sudah membayar pinjaman dan bil perubatan.

Dalam rayuannya, peguam Loh membahas berhujah dia sebelum ini "seorang majikan yang menghargai dan memahami pembantu rumahnya dan melayani pembantu rumahnya yang lain dengan sangat baik".

Loh akan mula menjalani hukuman pada 13 Dis dan ditawarkan diikat jamin S$10,000.

Bagi setiap tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja, dia boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau didenda sehingga S$5,000. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan