Images

Editor Berita Harian Sa'at Rahman dilantik jadi Presiden MUIS mulai 7 Ogos

SINGAPURA: Selepas tempoh panjang 18 tahun, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan mempunyai seorang Presiden baru. Beliau ialah Encik Mohamed Sa'at Abdul Rahman, yang juga merupakan Editor Berita Harian Singapura.

Di bawah peralihan kepimpinan itu, Encik Saat mengambil alih jawatan Encik Mohammad Alami Musa berkuat kuasa 7 Ogos ini. Encik Alami mencatat rekod sebagai Presiden MUIS paling lama berkhidmat iaitu sejak tahun 2003.

Pelantikan bagi jawatan Presiden MUIS - badan penguasa Islam tertinggi di negara ini - dibuat oleh Presiden Halimah Yacob.

Perubahan tersebut diumumkan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan media hari ini (30 Jul). MUIS ialah sebuah badan berkanun di bawah MCCY.


(Gambar: Berita Harian)

Ini bukan kali pertama seorang tokoh media diangkat menjadi Presiden MUIS. Sebelum ini seorang lagi Editor Berita Harian ketika itu, Encik Zainul Abidin Rasheed, pernah dilantik ke jawatan Presiden MUIS antara tahun 1991 hingga 1996.

SA'AT RAHMAN: MAHU PERDALAM USAHA DEKATI MASYARAKAT

Menurut MCCY, Encik Sa'at - Presiden ke-9 MUIS - dalam kedudukan baik untuk memimpin badan agama itu menerusi pengalamannya yang luas dalam masyarakat dan media.

"Selaku editor Berita Harian sejak 2012, Encik Mohamed Sa'at sudah bekerja rapat dengan MUIS dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam lain untuk menangani keperluan-keperluan dan aspirasi-aspirasi masyarakat Melayu/Islam," menurut MCCY.


(Gambar: Berita Harian)

Mengulas pelantikan beliau itu, Encik Sa'at yang berusia 60 tahun berkata: "Saya mengalu-alukan saatnya untuk menyumbang kepada Majlis Tertinggi MUIS yang merupakan sebuah institusi penting bagi masyarakat Muslim Singapura. Di bawah Haji Alami Musa, MUIS sudah berkembang dan mencatat kemajuan besar dalam banyak bidang termasuk masjid, madrasah dan pembangunan asatizah.

"Satu lagi bidang penting ialah dalam memupuk Identiti Muslim Singapura, yang sedang terus dilaksanakan. Saya berharap untuk bekerja dengan MUIS dalam meneruskan usaha-usaha tersebut dan ini termasuklah memperdalam usaha kami mendekati masyarakat dan pemegang-pemegang taruhan."

Encik Sa'at berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Southern Cross, Australia. Beliau sudah menjadi Editor Berita Harian sejak tahun 2012 dan sudah bertugas dengan Singapore Press Holdings sejak 33 tahun lalu. Beliau kini juga duduk dalam Lembaga Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Lembaga Nama Jalan dan Bangunan.

MASAGOS: PENGALAMAN SA'AT DALAM MEDIA, MASYARAKAT AKAN PERKUKUH MUIS

Mengulas perubahan kepimpinan MUIS itu Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengucapkan tahniah di atas pelantikan Encik Sa'at.

"Saya mengalu-alukan kepimpinannya dan untuk bekerja dengannya sedang kami terus berkhidmat kepada masyarakat Melayu/Islam.

"Pengalaman luas Encik Sa'at dalam bidang media dan masyarakat akan memperkukuh keupayaan Majlis Tertinggi MUIS, sedang MUIS meningkatkan usaha-usaha komunikasi dan pendekatannya untuk memenuhi keperluan-keperluan masyarakat kita dalam sekitaran yang semakin mencabar dan kompleks," menurut Encik Masagos menerusi kenyataan MCCY itu.


(Gambar: Berita Harian)

Encik Masagos juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Alami kerana kepimpinannya yang teguh terhadap MUIS sejak 18 tahun lalu.

"Beliau cukup penting dalam mentransformasi MUIS dan sektor keagamaan demi memenuhi keperluan masyarakat yang berubah-ubah dan mengemudi MUIS dalam bekerjasama dengan badan-badan agama dan masyarakat lain untuk memperkukuh keharmonian agama," kata Encik Masagos.

PELBAGAI SUMBANGAN BESAR ALAMI MUSA

Seorang pemimpin masyarakat veteran yang pernah menjadi Pengerusi AMP, Encik Alami yang kini berusia 65 tahun menjadi Presiden MUIS dengan kuasa eksekutif selama 10 tahun, sebelum kemudian menyandang jawatan yang sama tetapi diubah menjadi Presiden bukan eksekutif.

Salah satu sumbangan besar Encik Alami ialah melakar gagasan Identiti Muslim Singapura (SMI) yang menjadi panduan dan prinsip bagi menjalani kehidupan dalam sebuah negara majmuk dan kontemporari. Di bawah kepimpinannya juga, badan itu menubuhkan Akademi MUIS untuk menyokong gagasan tersebut.


Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli bersama Presiden MUIS Mohammad Alami Musa, Ketua Eksekutif MUIS Abdul Razak Maricar dan Mufti Dr Mohamed Fatris Bakaram di majlis pelancaran buku terbaru MUIS. (Gambar: MUIS) 

Encik Alami juga menerajui usaha-usaha memperkukuh pendidikan agama Islam dan pembangunan asatizah tempatan, menurut MCCY. Ini termasuklah merubah kelas-kelas agama sambilan di masjid-masjid menjadi lebih berstruktur dan meluas di bawah program-program aLIVE.

Beliau juga memimpin pembentukan Sistem Madrasah Bersama (JMS) yang bertujuan meningkatkan piawai pendidikan dan pentadbiran madrasah-madrasah sepenuh masa tempatan.


Encik Mohammad Alami Musa. (Gambar fail: TODAY)

Tambah MCCY lagi: "Haji Alami memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor masjid. Di bawah kepimpinannya masjid-masjid sudah memperkukuh program-program, keupayaan dan pentadbirannya termasuk pengenalan skim-skim sosial serta mewujudkan skim Pengerusi Eksekutif Masjid."

ALAMI: "SANGAT BERMAKNA DAN MEMUASKAN"

Mengulas perkhidmatannya di MUIS sepanjang 18 tahun lalu, Encik Alami menyifatkannya sebagai "sangat bermakna dan memuaskan".

"Saya diberi peluang untuk menyumbang dalam pembangunan institusi-institusi sosioagama masyarakat, membentuk kehidupan agamanya dalam konteks sebuah Singapura yang sekular, berbilang agama dan dalam memperkukuh MUIS menjadi sebuah badan berkanun yang berkesan yang mematuhi piawai tinggi Perkhidmatan Awam Singapura bagi pentadbiran dan kebertanggungjawaban," menurut Encik Alami menerusi kenyataan MCCY itu. 

- BERITAmediacorp/nk

Top