Images

E-skuter diharamkan di semua laluan jalan kaki mulai esok

SINGAPURA: Orang ramai dilarang menggunakan e-skuter di semua laluan jalan kaki mulai Selasa (5 Nov), kecuali di laluan berbasikal dan rangkaian penghubung taman.

Peranti sedemikian akan terus diharamkan di jalan raya.

Para penunggang yang tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan denda sehingga S$2,000 dan/atau dipenjara sehingga tiga bulan. Bagi membolehkan para pengguna membuat penyesuaian dengan peraturan baru itu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menyediakan “tempoh nasihat” sehingga hujung tahun ini.

Sepanjang tempoh itu, amaran akan dikeluarkan namun, LTA berhak untuk menguatkuasakan peraturan tersebut bagi kes-kes lebih serius.

Mulai 1 Januari 2020, satu pendekatan “toleransi sifar” akan diambil dan sesiapa yang didapati menunggang e-skuter di laluan jalan kaki akan dikenakan tindakan undang-undang, menurut LTA.

Larangan menunggang di laluan jalan kaki bagaimanapun tidak akan menjejas para pengayuh basikal, skuter bermotor dan alat bantuan mobiliti peribadi seperti kerusi roda bermotor dan skuter mobiliti.

Alat-alat mobiliti peribadi yang lain seperti ekasikal dan ‘hoverboard’ akan diharamkan di laluan jalan kaki secara bertahap-tahap menjelang suku pertama 2020, setelah pihak berkuasa mengusulkan dan meluluskan pindaan terhadap Akta Mobiliti Aktif di Parlimen bagi meluaskan bidang penguatkuasaan ke atas alat-alat sedemikian.

Peraturan itu diperkenalkan menyusuli beberapa kelakuan tidak bertanggungjawab dan kejadian melibatkan e-skuter yang menunjukkan trend meningkat – dengan pihak berkuasa memberkas secara purata 370 pesalah setiap bulan “meskipun usaha ketara sudah dijalankan”, menurut Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Lam Pin Min di Parlimen hari ini.

Dr Lam menarik perhatian bahawa kawalan ketat itu dijalankan seminggu selepas Perancis mengumumkan ia tidak lagi akan membenarkan penggunaan e-skuter di laluan jalan kaki menyusuli beratus-ratus insiden melibatkan e-skuter yang menyebabkan beberapa kematian.

“Beberapa bandar membenarkan penggunaan alat sedemikian di laluan jalan kaki kerana ia tidak menyebabkan pencemaran, murah, dan jika digunakan dengan betul, menawarkan kemudahan bagi pergerakan jarak dekat sekitar bandar. Kami menjangkakan perkongsian bersama di laluan jalan kaki sebagai sesuatu yang mencabar namun kami berharap dengan pendidikan awam, para pengguna PMD akan menjadi lebih berhemah dan bertanggungjawab. Malangnya, sebaliknya yang berlaku,” kata Dr Lam.

Di Singapura, Dr Lam berkata terdapat kemalangan “lebih teruk”, termasuk satu insiden maut melibatkan seorang pengayuh basikal pada September. Beliau menambah ramai pengguna turut cedera parah termasuk sebilangan penunggang yang mati. 

- CNA/HA/ha

Top