Images
  • exam
    Gambar Hiasan. (Gambar: AFP)

E-peperiksaan diteroka sebagai langkah urus skrip peperiksaan nasional

SINGAPURA: Menteri Pendidikan Ong Ye Kung berkata Singapura akan terus bekerjasama dengan Penilaian Cambridge untuk membuat dan memeriksa skrip-skrip peperiksaan GCE peringkat 'N', 'O' dan 'A' kerana kepakaran global badan pemeriksa itu.

Beliau menambah, pemarkahan melalui paparan skrin dan e-peperiksaan bakal juga diluaskan kepada lebih banyak kertas tidak lama lagi.

Ini menyusuli dua insiden yang melibatkan 32 skrip Peringkat 'O' hilang bulan lalu dan lebih 200 skrip Peringkat 'A' dicuri pada 2017.

Mulai tahun depan, jawapan bagi kertas-kertas peperiksaan yang dibuat di dalam negeri seperti bagi subjek Bahasa Ibunda akan diberi markah menerusi paparan skrin.

Peperiksaan e-lisan telah pun dilancarkan di semua peringkat untuk subjek Bahasa Ibunda.

Ia akan diperluaskan ke Bahasa Inggeris Peringkat 'N' tahun ini dan kemudian bagi Bahasa Inggeris Peringkat 'O' pada tahun depan.

Encik Ong berkata agensi-agensi itu juga sudah merintis kaedah peperiksaan bertulis menggunakan komputer bagi kertas-kertas tertentu Bahasa Ibunda dan menerima maklum balas yang positif.

Beliau menjelaskan demikian sebagai menjawab beberapa pertanyaan dari para Anggota Parlimen tentang cara untuk melindungi kertas jawapan peperiksaan dengan lebih baik dan sama ada ia boleh diperiksa dan diberi markah di Singapura, bukan lagi di United Kingdom.

- CNA/FZ/na

Top