Images
  • dyson
    Dyson buka kedai demonstrasi pertamanya di Funan. 

Dyson mahu gajikan lebih ramai jurutera elektronik, pemasar digital di S'pura

SINGAPURA: Firma teknologi Britain, Dyson, sedang merancang untuk mengambil "lebih ramai" pekerja di Singapura, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jim Rowan sedang syarikat itu terus meningkatkan pengeluaran dan keupayaan di kemudahan seluruh negara.

Sekarang ini, Dyson menggajikan sekitar 1,100 pekerja di tiga tempat - kemudahan pengeluarannya di Jurong, pusat teknologi di Taman Sains dan pejabat komersil di one-north.

"Bilangan itu akan meningkat dengan agak banyak dalam tempoh beberapa tahun akan datang," kata Encik Rowan kepada para wartawan pada Selasa (9 Jul).

"Kami akan terus menambah keupayaan dan pengeluaran di kemudahan motor digital di Jurong. Kami terus memperluas Pusat Teknologi Singapura di Taman Sains untuk memudahkan pertumbuhan dan kejuruteraan."

Dyson mencipta motor digitalnya yang dilindungi paten, yang menggerakkan pembersih vakum tanpa wayar serta mesin penjagaan diri tanpa wayar - di kemudahan Jurong dan membangunkan teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI) di pusat Taman Sains.

Oktober lalu, syarikat itu juga mengumumkan ia akan membangunkan kereta elektriknya di Singapura dan pada Januari pula, ia menyatakan bakal memindahkan ibu pejabat korporatnya ke negara ini.

Meskipun Encik Rowan enggan mendedahkan berapa ramai jumlah pekerja yang akan diambil Dyson di Singapura, beliau berkata angka itu "ketara", terutama lagi apabila syarikat itu beralih dari kejuruteraan mekanikal ke perisian dan elektronik.

"Kami mempunyai banyak perisian serta elektronik dalam produk kami dan begitu banyak kecerdasan (buatan) maka itulah kemahiran yang kami perlukan," ujar Encik Rowan.

Dyson juga mencari kemahiran dalam pemasaran digital, tambah Encik Rowan, sambil menarik perhatian bahawa peruncitan digital menjadi kian penting dengan berkurangnya kedai-kedai runcit tradisional.

Ini bermakna membangunkan lebih banyak laman wab dan saluran perniagaan menerusi wadah seperti WeChat untuk "menjangkaui para pembeli media sosial".

Encik Rowan berkata Dyson juga boleh memanfaatkan hakikat bahawa Singapura adalah sebuah hab bagi industri-industri pemacu cakera dan semikonduktor.

MAKMAL KECANTIKAN BARU DI S'PURA

Salah satu industri yang menjadi tumpuan pelaburan tinggi Dyson kini adalah penjagaan peribadi, yang mana ia dikenali sebagai sektor yang paling pesat berkembang dengan produk seperti pembersih udara dan lampu yang menyerupai cahaya matahari semula jadi.

Pada Selasa (9 Jul), Dyso melancarkan kedai demonstrasi makmal kecantikan pertamanya di Singapura di pusat beli-belah Funan yang baru. Ia menampilkan pengering rambut Supersonic dan pembentuk fesyen rambut Airwrap.

Butiran mengenai produk lain yang Dyson masih dirahsiakan adalah kereta elektrik yang menurut Encik Rowan masih mengikut rancangan bagi pelancaran pada 2021. 

- CNA/FZ/fz

Top