Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Duta jarak selamat, pegawai penguatkuasaan akan terus diambil kerja selepas tamat 'circuit breaker': MEWR

Duta jarak selamat (SDA) dan pegawai penguatkuasaan akan terus mendapat permintaan meskipun setelah tamat tempoh langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 di Singapura pada 1 Jun, menurut Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) pada Sabtu (23 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Duta jarak selamat, pegawai penguatkuasaan akan terus diambil kerja selepas tamat 'circuit breaker': MEWR

Seorang duta jarak selamat (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Diterbitkan : 24 May 2020 09:56PM Dikemas Kini : 24 May 2020 10:02PM

SINGAPURA: Duta jarak selamat (SDA) dan pegawai penguatkuasaan akan terus mendapat permintaan meskipun setelah tamat tempoh langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 di Singapura pada 1 Jun, menurut Kementerian Sekitaran dan Sumber Air (MEWR) pada Sabtu (23 Mei).

Menjawab pertanyaan Mediacorp, MEWR - agensi utama yang bertanggungjawab ke atas penguatkuasaan jarak selamat - menyatakan duta dan pegawai penguatkuasa akan terus direkrut dan dikerahkan untuk memastikan orang ramai mengamalkan langkah-langkah jarak selamat.

Kira-kira 3,000 kakitangan jarak selamat dikerahkan setiap hari, menurut kementerian itu.

"Buat permulaan, rancangan kami ialah untuk mengekalkan jumlah pegawai pada tahap sekarang dan menyesuaikan jumlahnya bergantung pada situasi," tambahnya.

MEWR menambah bahawa jawatan itu juga akan memberikan "peluang kerja jangka pendek dan kelegaan" bagi mereka yang mata pencariannya terjejas oleh pandemik COVID-19.

Gaji seorang duta boleh mencecah S$ 2,500 sebulan, dan sebilangan daripada mereka yang ditemui Mediacorp khuatir hilang pendapatan ini serta prospek masa depan dalam keadaan ekonomi sedia ada.

LEBIH BANYAK PERLU DILANTIK APABILA PEGAWAI AWAM KEMBALI KERJA

MEWR menambah bahawa lebih daripada 65 agensi awam terlibat dengan kerja penguatkuasaan di kejiranan, dan ramai duta serta pegawai penguatkuasa juga merupakan pekerja awam yang mempunyai kerja tetap.

"Oleh kerana ia akan mengambil masa sebelum Singapura mencapai tahap normal baru di bawah Tahap 3, SDA baru akan direkrut untuk membolehkan sebilangan pegawai awam kembali sepenuh masa kepada tugas mereka," menurut kementerian itu, merujuk kepada rancangan Singapura untuk melonggarkan langkah pemutus jangkitan dalam tiga fasa. Fasa awal bermula pada 2 Jun dan dijangka berlangsung sekurang-kurangnya beberapa minggu, manakala fasa kedua dijangka berlangsung beberapa bulan.

Apabila ditanya, agensi seperti STB dan Enterprise Singapore (ESG) enggan mengulas tentang berapa lama duta mereka akan dikerahkan.

Namun, beberapa duta memberitahu Mediacorp kontrak mereka sepatutnya tamat pada hujung Jun, tetapi mungkin dilanjutkan hingga Disember.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan