Images
  • dr ng defence tech summit
    Dr Ng Eng Hen (Gambar: Mediacorp)

Dunia perlu ‘bentuk semula’ tentera bagi tangani ancaman bukan konvensional

SINGAPURA: Negara-negara dunia perlu membentuk semula tentera masing-masing untuk menangani lebih banyak ancaman bukan konvensional hari ini - termasuk serangan pengganas, ancaman dari ruang siber dan kesan perubahan iklim, menurut Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen pada Rabu (26 Jun).

Semasa berucap di Sidang Puncak Teknologi Pertahanan Singapura, Dr Ng menegaskan bahawa pihak tentera perlu bekerjasama lebih rapat dengan sektor teknologi pertahanan untuk bertindak terhadap ancaman-ancaman baru.

"Apa saja perubahan yang diperlukan, satu aspek tetap jelas - tentera kita perlu lakukan lebih lagi, dan kadangkala dengan sumber yang terbatas. Akan ada perlunya interaksi lebih rapat antara unit operasi dengan masyarakat teknologi pertahanan untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber dan memperbaiki keupayaan untuk bertindak," tambah beliau.

TENTERA MERATA DUNIA LALUI PERUBAHAN

Dr Ng turut memberi contoh beberapa pasukan tentera yang sudahpun mula menyesuaikan diri dengan perubahan. Misalnya, Jerman memperkukuhkan pertahanan siber secara ketara dengan pelaburan 1.6 bilion euro (S$2.5 bilion) ke dalam pendigitalan dan IT. Pada 2017, pihaknya melancarkan khidmat baru dengan lebih 13,000 anggota ditugaskan untuk melindungi rangkaian dan sistem maklumat penting.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pula diberi mandat untuk melancarkan serangan balas siber terhadap para penyerang, tambah beliau.

Di Singapura, Kementerian Pertahanan bekerjasama dengan para saintis, jurutera dan pengendali ketenteraan untuk membangunkan keupayaan baru dalam menghuraikan masalah-masalah ini.

Sidang puncak tahun ini dihadiri para wakil dari 23 negara. Ini satu peningkatan yang dialu-alukan Dr Ng berbanding 17 negara yang menghadirinya tahun lalu, di tengah-tengah "persekitaran teknologi yang semakin sengit" di mana rahsia dan maklumat sulit semakin dikawal rapi.

"Tentera yang berkhidmat untuk generasi masa kini perlu menangani persaingan tradisional selain cabaran baru yang berkaitan dengan pengganasan, ruang siber, angkasa lepas dan kuasa alami," kata Dr Ng.

"Kita semakin memerlukan kuasa teknologi untuk memperhebatkan usaha dan mempertingkatkan kecekapan untuk menangani cabaran-cabaran sedemikian."

- CNA/TQ/tq

Top