Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dua kapal M'sia masih berada di perairan S'pura

Sebanyak lima kapal milik kerajaan Malaysia berada di perairan wilayah Singapura selepas satu mesyuarat positif antara menteri-menteri luar Singapura dan Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jan 2019 12:26AM Dikemas Kini : 11 Jan 2019 11:59PM

SINGAPURA: Sebanyak lima kapal milik kerajaan Malaysia berada di perairan wilayah Singapura selepas satu mesyuarat positif antara menteri-menteri luar Singapura dan Malaysia.

Menjawab pertanyaan media, Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) mengesahkan bahawa terdapat lima kapal milik kerajaan Malaysia di perairan Singapura dekat Tuas pada jam 6.00 petang, pada Rabu (9 Jan)

Sehingga 6.00 petang Khamis (10 Jan), dua kapal milik kerajaan Malaysia masih lagi berada di perairan wilayah Singapura dekat Tuas, menurut MPA.

Salah sebuah kapal itu adalah kapal MV Pedoman. Media Malaysia melaporkan bahawa kapal yang membawa 22 kru itu menggantikan kapal MV Polaris yang meninggalkan perairan Singapura pada Sabtu (3 Jan).

Menurut laporan agensi berita Bernama, Jabatan Marin Malaysia menegaskan pada Rabu (9 Jan) bahawa kedua-dua kapal itu berada di perairan Malaysia.

"MV Pedoman menggantikan Polaris kerana kapal Polaris harus menambah bekalan dan mengisi minyak," menurut seorang pegawai kerajaan Malaysia.

Kapal-kapal milik kerajaan Malaysia sudah berkali-kali mencerobohi perairan Singapura sejak beberapa bulan lalu, selepas Malaysia meluaskan hab pelabuhan Johor Bahru pada Oktober. Peluasan itu mencerobohi perairan wilayah Singapura dekat Tuas.

Singapura sudah mengetengahkan bantahan terhadap peluasan had pelabuhan itu dan pergerakan kapal-kapal tersebut. Kementerian Pengangkutan MOT juga meluaskan had pelabuhan Singapura dekat Tuas pada 6 Disember sebagai respons.

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan juga berkata terdapat sebanyak 14 pencerobohan oleh kapal-kapal Malaysia sepanjang dua minggu sebelum 6 Disember lalu.

Sementara itu, kedua-dua negara juga terlibat dalam pertikaian berhubung ruang udara di selatan Johor.

Minggu ini, ketegangan kelihatan reda sedang kedua-dua menteri luar Singapura dan Malaysia mengadakan pertemuan. 

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan dan rakan sejawatannya dari Malaysia Saifuddin Abdullah berkata dalam satu kenyataan bersama pada Selasa (8 Jan) bahawa kedua-dua negara sudah bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja bagi mengkaji dan membincangkan hal-hal undang-undang dan operasi berkaitan pertikaian maritim tersebut. Ia bertujuan menyediakan asas bagi perbincangan dan rundingan lanjut.

Mereka juga bersetuju untuk menggantung pelaksanaan kawasan larangan tetap oleh Malaysia di ruang udara Pasir Gudang, manakala Singapura juga akan menggantung pelaksanaan prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Instrumen bagi Lapangan Terbang Seletar.

Menteri pengangkutan dari kedua-dua negara dijangka akan bertemu "tidak lama lagi" bagi mengadakan perbincangan, menurut kenyataan itu lagi. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan