Images
  • ntu doctor
    Abu Bakar Shakran Mahmood satu-satunya pelajar Melayu/Islam jurusan kedoktoran di NTU bagi kohort tahun ini (Gambar: Nurhelmy Hakim/BERITAmediacorp)

Dua kali gagal, akhirnya berjaya buru impian jadi doktor

SINGAPURA: Sekolah Perubatan Lee Kong Chian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menerima kohort terbesar 150 pelajar perubatan siang tadi (13 Ogos).

Bilangan itu adalah tiga kali ganda kohort pertama seramai 54 pelajar sahaja, pada tahun 2013.

Salah seorang daripada mereka ialah Abu Bakar Shakran Bin Mahmood, 21, satu-satunya pelajar Melayu/Islam dalam kohort tahun ini.

KEGAGALAN BUKAN PENGHALANG

Peluang untuk Abu Bakar Shakran menyarung kot putih - tanda bermulanya pengajian sebagai pelajar perubatan - tidak datang dengan mudah.

Dua kali berturut-turut, percubaan beliau memasuki sekolah perubatan di Universiti Nasional Singapura (NUS) gagal walaupun dengan keputusan cemerlang.

Beliau mengambil langkah untuk menduduki Ujian Kemasukan Bioperubatan atau BMAT, yang diperlukan sekolah perubatan di NTU.

"Kegagalan tersebut menjadi satu pembakar semangat untuk saya mengorak langkah ke hadapan. Ia merupakan satu titik inspirasi untuk saya mengenal pasti kelemahan yang ada pada diri saya dan Alhamdulillah saya dapat akhirnya menempah tempat di sekolah perubatan," ujarnya.

MINAT SAINS HAYAT DARI SEKOLAH MENENGAH

Semuda usia 16 tahun, Abu Bakar Shakran sudah bergiat di Hospital Tan Tock Seng dan dua tahun kemudian di Hospital Raffles untuk membantu kerja-kerja penyelidikan di Jabatan Pemeriksaan Kesihatan.

Kegagalan dua kali berturut-turut memasuki sekolah perubatan tidak menjadi penghalang untuk beliau menjadi relawan di Hospital Besar Changi, sehinggalah sekarang.

Semua ini menjadi pengalaman amat berguna sedang beliau memulakan pengajian perubatan selama lima tahun.


Beliau yakin ilmu yang diraih dari Sekolah Perubatan Lee Khong Chian akan membolehkannya menjadi seorang doktor berkebolehan tinggi.

"Saya harap saya dapat menimba ilmu dan juga mendapat kemahiran yang relevan supaya saya dapat menjadi seorang doktor yang dapat menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat pada masa hadapan," kata Abu Bakar Shakran.

Upacara kot putih tahun ini adalah yang ketujuh diadakan bagi pelajar perubatan NTU. Sejauh ini, dua kohort terawal sudah mula bekerja di hospital-hospital Singapura.  

- BERITAmediacorp/tq

Top