Images

Dron tanpa pemandu mungkin diguna bagi pemeriksaan penyenggaraan di Kepulauan Selatan

SINGAPURA: Penguasa Tanah Singapura (SLA) sedang menimbangkan untuk menggunakan dron melalui kawalan jauh dan tanpa pemandu bagi menjalankan pemeriksaan berjadual di pulau-pulau di luar perairan Singapura di bawah penyelenggaraannya.

Pada bulan Mac, SLA menjalankan ujian dron di Pulau Seringat dan Pulau Kusu - sebuah kawasan sekitar 42 hektar di daerah Kepulauan Selatan - bagi meneroka penggunaan dron bagi tujuan operasi.

Dijalankan bersama pakar robotik Sistem Tanpa Pemandu HUS, dron itu diterbangkan mengikut laluan yang dirancang awal dan mengikuti jadual penerbangan yang ditetapkan berbanding dipandu secara manual.


Buat masa ini, dron-dron di Singapura harus diterbangkan oleh seseorang juruterbang yang memantau alat dalam jangkauan penglihatan atas sebab keselamatan.

Namun, jumlah rendah penduduk di pulau-pulau di luar perairan Singapura bermakna penggunaan dron-dron tanpa pemandu boleh dipertimbangkan.

SLA sudah meminta kebenaran daripada Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) untuk mengendalikan dron-dron tanpa pemandu berkenaan.

Jika diluluskan, ia akan menjadi salah sebuah agensi pertama melakukan demikian.

Ketua Sistem dan Sokongan bagi Pengurusan Tanah SLA, Vincent Aw, memberitahu Mediacorp bahawa keupayaan dron-dron itu untuk memetik gambar resolusi tinggi bermakna dron-dron tersebut boleh mengesan isu penyenggaraan di kawasan-kawasan yang tidak mudah dijangkaui dan sukar dilihat, seperti keretakan halus dan kerosakan pada bumbung bangunan.

SLA sudahpun menjalankan pemeriksaan penyenggaraan serupa menggunakan dron yang dipandu di hartanah lain yang diselenggarakannya di tanah besar Singapura.

Apabila ditanya mengenai langkah-langkah keselamatan, Encik Aw berkata bahawa pihaknya berniat untuk mengendalikan dron itu apabila tiada ramai orang di pulau tersebut, seperti sebelum kumpulan pertama penumpang feri tiba di pulau itu.

BANTUAN TEKNOLOGI YANG LAIN

Jika beroperasi, dron itu menjadi salah satu daripada banyak teknologi lain yang dimanfaatkan di pulau-pulau tersebut sejak SLA mengambil alih tanggungjawab menguruskan 10 pulau luar pesisir pada Mac 2017.

Ini termasuk Pulau Kusu, Pulau Sekijang Bendera atau St John's, Pulau Lazarus dan Pulau Seringat yang terletak di bahagian selatan Singapura.

Teknologi-teknologi itu akan membantu agensi berkenaan menjalankan tugas utamanya di pulau-pulau tersebut terutamanya menyenggarakan rumput, pembersihan, mengawal haiwan perosak dan keselamatan.  

- CNA/AI/ai

Top