Images
  • parliament building
    (Gambar: Mediacorp)

Draf undang-undang FICA tidak halang pertemuan oleh kumpulan dengan warga asing: MHA

SINGAPURA: Di bawah rang undang-undang yang diusulkan berhubung campur tangan asing, anggota dua kumpulan masyarakat awam di Singapura boleh meneruskan kegiatan seperti menganjurkan ceramah dan pertemuan dengan warga asing selagi individu-individu tersebut tidak mempunyai kuasa ke atas kumpulan tersebut.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menjelaskan demikian pada Sabtu (25 Sep) sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp. Ini setelah dua kumpulan masyarakat awam itu, Maruah dan Think Centre, ingin tahu sama ada kegiatan mereka akan diteliti dengan lebih rapi jika draf undang-undang itu diluluskan.

Jelas MHA: "Tujuan Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindakan Balas) atau FICA bukan untuk mengekang pandangan atau kegiatan politik, tetapi untuk mencegah pengaruh asing dalam politik negara melalui proksi tempatan."

Di bawah Rang Undang-Undang FICA, pihak berkuasa boleh menetapkan individu dan kumpulan yang terlibat secara langsung dalam proses politik Singapura sebagai "individu penting dari segi politik".

Mereka akan dikenakan langkah-langkah ketat, termasuk membuat perisytiharan hubungan dengan sebarang entiti asing dan melaporkan derma berjumlah S$10,000 ke atas.

Jika diluluskan, undang-undang itu akan menggantikan Akta Sumbangan Politik sedia ada yang sudahpun mengenakan sekatan tertentu terhadap sumbangan kepada parti dan persatuan politik.

Semua persatuan politik yang diwartakan di bawah Akta Sumbangan Politik akan ditetapkan secara automatik sebagai individu penting dari segi politik di bawah FICA.

Buat masa ini, Maruah dan Think Center, adalah dua pertubuhan bukan pemerintah (NGO) diwartakan seperti itu.

Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa Maruah bimbang sama ada rang undang-undang itu akan menghalangnya daripada mengadakan pertemuan dengan rakan kerja dari negara lain di Asia Tenggara. Maruah secara kerap menghadiri pertemuan sedemikian sebagai wakil Singapura berhubung mekanisme hak asasi manusia.

Think Centre pula menyatakan Rang Undang-Undang tersebut menggambarkan warga Singapura sebagai " orang yang tidak boleh berfikir untuk diri sendiri" dan seolah-olah menganggap semua warga asing ada "muslihat tersembunyi".

Dalam jawapannya kepada Mediacorp, MHA menekankan kedua-dua NGO itu kini di bawah syarat-syarat berikut di bawah Akta Sumbangan Politik:

  • Mereka perlu menyerahkan pernyataan tahunan bagi sumbangan bernilai S$10,000 dan ke atas dari penderma yang dibenarkan
  • Dilarang menerima sumbangan daripada penderma yang tidak dibenarkan
  • Dikenakan had S$5,000 bagi sumbangan dari penderma tidak bernama
  • Penderma kepada kedua-dua badan juga perlu mengisytiharkan sebarang sumbangan melebihi S$10,000

Syarat-syarat tersebut akan dikekalkan di bawah FICA, kata MHA.

Sebagai tambahan, Think Centre dan Maruah harus mematuhi dua syarat baru:

  • Mereka harus membuka dan mengekalkan akaun bank khusus untuk menerima derma politik
  • Mereka mesti mengisytiharkan sebarang hubungan dengan entiti asing

MHA mentakrifkan hubungan asing sebagai "hubungan dengan pelaku asing yang berada dalam kedudukan mempunyai kuasa terhadap individu yang penting secara politik", atau jika orang-orang ini "secara langsung mempunyai hubungan dengan pelaku asing, atau digajikan oleh pelaku asing".

"Anggota Think Centre atau Maruah yang menyertai ceramah anjuran badan asing, mengadakan pertemuan makan tengah hari dengan orang asing, menghadiri perbincangan dengan penceramah asing, atau mengambil bahagian dalam perbincangan dengan kumpulan kerja Persatuan Asia Tenggara yang lain, tidak dikira sebagai mempunyai hubungan asing selagi orang asing tersebut tidak mempunyai kuasa ke atas mereka,” jelas MHA.

Namun kementerian tersebut menambah bahawa "pihak berkuasa yang layak" yang dilantik dapat mengenakan langkah-langkah tindak balas lanjut terhadap individu yang penting dari segi politik sekiranya beliau berpuas hati bahawa individu itu sedang melakukan, telah melakukan, atau akan melakukan sesuatu kegiatan bagi pihak pelaku asing.

Langkah tindak balas juga akan diambil sekiranya ia adalah selaras dengan kepentingan orang ramai bagi arahan seperti itu diberikan, kata MHA.

- TODAY/TQ/tq

Top