Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Draf undang-undang berita palsu 'beri pemerintah kuasa' tegakkan kebenaran

Kepalsuan online boleh meninggalkan kesan-kesan yang sangat serius. Misalnya pada 2016, sekeping gambar yang menunjukkan bahagian bumbung bangunan Punggol Waterway Terraces roboh dimuatnaikkan online, tetapi akhirnya didapati palsu.

Anggaran Waktu Membaca:
Draf undang-undang berita palsu 'beri pemerintah kuasa' tegakkan kebenaran

Gambar fail Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam. (Gambar fail: TODAYonline)

Diterbitkan : 14 Apr 2019 09:20AM Dikemas Kini : 14 Apr 2019 09:27AM

SINGAPURA: Kepalsuan online boleh meninggalkan kesan-kesan yang sangat serius. Misalnya pada 2016, sekeping gambar yang menunjukkan bahagian bumbung bangunan Punggol Waterway Terraces roboh dimuatnaikkan online, tetapi akhirnya didapati palsu.

Cuba bayangkan sekiranya seseorang menyebarkan berita palsu yang mendakwa kanak-kanak boleh mengalami autisme jika mendapatkan suntikan vaksin tertentu.

Menteri Undang-Undang K Shanmugam memberikan contoh-contoh sedemikian dalam wawancara bersama Mediacorp, mengenai rang undang-undang yang dibentangkan baru-baru ini bagi menangani kepalsuan online.

Encik Shanmugam menyifatkan undang-undang yang diusulkan itu sebagai "melaksanakan bidang kuasa pemerintah" yang juga digunakan untuk bidang-bidang lain seperti menguruskan ekonomi negara, menjalankan siasatan dan melakukan penangkapan.

Pada November 2016, laman berita alternatif All Singapore Stuff menerbitkan satu rencana di mana seorang penyumbang berita mendakwa bahawa tingkat-tingkat teratas Punggol Waterway Terraces - iaitu sebuah bangunan perumahan awam - roboh.

Rencana itu bagaimanapun dipadamkan sejurus kemudian, dengan pihak berkuasa menyifatkannya sebagai berita palsu.

Dalam wawancara yang disiarkan di televisyen pada Jumaat (12 Apr), Encik Shanmugam berkata polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bergegas ke tempat kejadian, di mana ramai penduduknya adalah keluarga-keluarga muda dengan anak-anak kecil.

"Jika kami sebelum ini mempunyai kuasa untuk serta-merta menjelaskan bahawa berita itu adalah palsu serta meminta individu tersebut dan wadah-wadah (online) untuk mengeluarkan notis dengan segera kepada semua orang: "Bagi anda yang sudah membaca rencana ini, sila ambil perhatian bahawa Pemerintah menjelaskan bahawa bumbung bangunan tidak runtuh". Bukankah ini lebih baik?" tanya Encik Shanmugam.

Sekiranya seseorang, misalnya, menyebarkan berita palsu yang mendakwa bahawa kanak-kanak akan mengalami autisme atau jangkitan campak selepas mendapatkan vaksin tertentu, Encik Shanmugam berkata Kementerian Kesihatan (MOH) harus mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan keadaan di "laman-laman yang menerbitkan berita palsu itu".

Katanya, kementerian-kementerian mempunyai "kepakaran" masing-masing untuk menegakkan kebenaran.

Apabila diluluskan, Rang Undang-Undang Perlindungan daripada Kepalsuan Online dan Manipulasi yang diperkenalkan di Parlimen pada 1 April akan memberi para menteri pemerintah bidang kuasa yang lebih luas untuk menghentikan penyebaran kepalsuan online serta bertindak terhadap pihak-pihak yang menyebarkannya.

Rang Undang-Undang itu menyifatkan kepalsuan sebagai pernyataan fakta yang "palsu atau mengelirukan". Ia bagaimanapun tidak meliputi pandangan, kritikan, satira atau parodi.

99% RAKYAT S'PURA 'TIDAK PERLU BIMBANG'

Dalam usaha menangani keprihatinan awam terhadap Rang Undang-Undang itu, Encik Shanmugam menekankan bahawa "99 peratus rakyat tidak perlu bimbang 99 peratus daripada masa mereka."

Meskipun ramai yang menerima mesej dan kemudian mengongsi mesej-mesej tersebut, beliau berkata "ini bukan isunya".

"Jika berita itu ternyata palsu, langkah pertama adalah untuk meminta wadah-wadah teknologi supaya mengeluarkan makluman kepada semua orang bagi menjelaskan bahawa ia adalah palsu," kata menteri itu.

Menyentuh tentang sama ada Rang Undang-Undang yang diusulkan itu akan disalahgunakan, Encik Shanmugam berkata beliau tidak boleh memberi jaminan mengenai bagaimana pemerintah-pemerintah seterusnya akan bertindak.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa kepalsuan online adalah satu masalah serius yang kini menjadi "kaedah baru yang dieksploitasi ramai pihak".

"Ia mempunyai kesan-kesan serius terhadap orang ramai dari segi wang, kehidupan dan adalah salah jika Pemerintah Singapura tidak mengambil sebarang tindakan," katanya sambil menarik perhatian bahawa negara-negara seperti Jerman, Australia dan Britain sudahpun menguatkuasakan undang-undang serupa bagi menangani masalah tersebut.

Encik Shanmugam turut berkata Singapura menguatkuasakan undang-undang yang dapat dilaksanakan dengan baik bagi negara ini, sekaligus menyokong komen-komen oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada awal minggu ini, iaitu Singapura akan melaksanakan apa yang dianggap baik untuk rakyat dan negara ini.

"Kami melaksanakan kuasa itu secara jujur dan membenarkan diri kami untuk dinilai. Rakyat juga menilai kami semasa pilihan raya dan mereka turut menimbangkan hasil usaha kami," tambahnya.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan