Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob sambut baik kenyataan Pergas; seiring dengan pendirian S'pura

Kenyataan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) adalah satu respons yang rasional dan munasabah terhadap tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Yaacob sambut baik kenyataan Pergas; seiring dengan pendirian S'pura

Dr Yaacob menyambut baik kenyataan Pergas dengan menekankan lagi pendirian Singapura terhadap isu Baitulmakdis. (Gambar: Yaacob Ibrahim/Facebook)

BERITAMediacorp: Kenyataan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) adalah satu respons yang rasional dan munasabah terhadap tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel.

Ini menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Dalam satu catatan Facebook pagi ini (13 Dis), Dr Yaacob merujuk kepada kenyataan Pergas semalam (12 Dis) yang menyuarakan sokongannya terhadap huraian dua negara seperti yang turut disokong oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) sebagai huraian isu berhubung Baitulmakdis.

"Pergas juga ingin merakamkan sokongan kami terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) baru-baru ini bagi huraian dua negara yang melibatkan tertubuhnya sebuah negara Palestin yang merdeka, hidup dalam aman dan sejahtera di samping negara Israel," demikian menurut kenyataan persatuan itu.

Dr Yaacob menyambut baik kenyataan Pergas dengan menekankan lagi pendirian Singapura terhadap isu yang mencetuskan "kesangsian, kebimbangan, kemarahan dan ketakutan dalam hati orang Muslim di merata dunia" itu.

"Isu ini merupakan masalah yang sudah berlarutan sekian lama dan ia rumit lantas memerlukan kebijaksanaan, kepercayaan dan kerja keras semua pihak yang terbabit.

Singapura dengan konsisten menyokong huraian dua negara yang melibatkan penduduk Palestin hidup bersama warga Israel dalam keadaan yang aman dan selamat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat Singapura tentang kata-kata pedoman dari Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram dalam catatan Facebooknya pada 11 Disember: "Jangan putus asa kalau kita rasa kita tak berupaya mengubah dunia. Tapi berusahalah untuk menyinari dunia sekitar kita dengan kebaikan hati, amal dan akhlak kita... Daripada tak habis-habis mengutuk gelita, kan lebih baik setiap kita menyalakan pelita.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan