Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob lepaskan jawatan Pengerusi MENDAKI pada 30 April; Masagos ambil alih

Dr Yaacob Ibrahim akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan MENDAKI pada 30 April. Beliau memegang jawatan tersebut sejak 16 tahun, iaitu pada tahun 2002.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Yaacob lepaskan jawatan Pengerusi MENDAKI pada 30 April; Masagos ambil alih

Dr Yaacob di acara Playfest Mendaki baru-baru ini. (Gambar: Mendaki Singapore/ Facebook)

SINGAPURA: Dr Yaacob Ibrahim akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan MENDAKI pada 30 April. Beliau memegang jawatan tersebut sejak 16 tahun, iaitu pada tahun 2002.

Jawatan yang dikosongkan oleh Dr Yaacob itu akan diambil alih oleh Encik Masagos, yang akan menjadi Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam mulai 1 Mei ini.

Demikian didedahkan MENDAKI dalam satu kenyataan media pada Selasa (24 Apr). Secara tradisinya, jawatan Pengerusi MENDAKI, yang merupakan salah satu tunggak penting dalam masyarakat Melayu/Islam, memang disandang oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Dalam kenyataan tersebut, MENDAKI juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dr Yaacob sambil membutirkan pelbagai pencapaian beliau selaku Pengerusi.

Ia menyifatkan Dr Yaacob sebagai tunggak usaha-usaha MENDAKI menjangkaui masyarakat Melayu/Islam. Ketua Pegawai Eksekutif Mendaki, Rahayu Buang, menyatakan bahawa MENDAKI mendapat sokongan dan bimbingan Dr Yaacob dalam memastikan masyarakat mengutamakan pendidikan dan berazam untuk menjadi cemerlang.

"Dr Yaacob seorang mentor yang mudah didekati dan beliau rela meluangkan banyak masa untuk berkongsi tentang pengetahuannya. Mendaki ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Yaacob atas sumbangannya selama 16 tahun," kata Cik Rahayu menerusi kenyataan tersebut.

YAACOB TERLIBAT DENGAN MENDAKI SEJAK JADI PELAJAR LAGI

Dr Yaacob dilantik sebagai pengerusi MENDAKI pada 2002. Namun, pelibatannya dengan Mendaki bermula lebih awal daripada itu. Sejak beliau masih menuntut di universiti lagi, beliau sudah menjadi sukarelawan dengan badan bantu diri Melayu itu.

(Gambar-gambar fail: Mendaki Singapore/ Facebook)

"Pelibatannya dengan MENDAKI mencerminkan kesungguhannya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Beliau bermula sebagai seorang tutor secara sukarelawan, kemudian mempengerusikan beberapa jawatankuasa.

"Antaranya sebagai pengerusi program S1 dan 'Under Achievers' pada awal 1990-an sehinggalah beliau menjadi pengerusi pertubuhan ini," tambah Cik Rahayu.

PASTIKAN ADA SOKONGAN PENDIDIKAN

MENDAKI menekankan bahawa di bawah kepimpinan Dr Yaacob, jumlah pelajar yang menerima sokongan pendidikan di bawah Skim Tuisyen Mendaki bertambah. Pada 2012, jumlah pelajar yang menerima bantuan melonjak sebanyak hampir 70 peratus selepas skim itu dipertingkat.

Dr Yaacob juga memastikan kos pendidikan tinggi dimampui sebahagian besar masyarakat. Malah pada tahun 2018 ini, kriteria pendapatan keluarga bagi Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) disemak semula bagi membantu lebih ramai lagi pelajar.

Menurut MENDAKI, Dr Yaacob juga sering menyuarakan pandangan bagi memastikan generasi anak muda "Siap ke Sekolah, Cemerlang di Sekolah dan Bersedia untuk Masa Depan (Future Ready)".

Tidak hanya memastikan para pelajar mendapat sokongan pendidikan, Cik Rahayu juga berkata bahawa Dr Yaacob sering menekankan pentingnya bagi kanak-kanak untuk mempunyai asas pengetahuan yang kukuh.

"Beliau sering bertemu dengan ibu bapa dalam acara jamuan bersama Mendaki, berkongsi pengalaman peribadi dan pendapatnya tentang pengaruh ibu bapa dalam pembelajaran kanak-kanak. Beliau juga menekankan tentang bagaimana ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik melalui pembelajaran sepanjang hayat," kata Cik Rahayu.

MEMPERSIAPKAN MASYARAKAT DALAM MENGHADAPI CABARAN EKONOMI BARU

Pada 2015, Unit Kesedian Masa Depan di MENDAKI ditubuhkan di bawah pengawasan Dr Yaacob. Unit itu ditubuhkan di tengah-tengah kemelesetan ekonomi, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peluang-peluang yang ada dalam ekonomi masa depan.

Dalam usaha itu, Dr Yaacob memberi sokongan penuh supaya Mendaki mendampingi para pelajar selain menggalak mereka untuk melibatkan diri dalam program-program sosial. Untuk itu, peningkatan dijalankan ke atas inisiatif Dr Yaacob iaitu Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).

Insiatif MAKMAL CLF ditubuhkan pada 2011 bagi membantu para belia menjana idea-idea baru secara bersama melalui dana pelaburan. Hasilnya, banyak inisiatif baru dijalankan bagi menyokong kemajuan masyarakat.

PASTIKAN MUTU PERKHIDMATAN MENDAKI

Dr Yaacob juga memastikan masyarakat mudah mendapat akses kepada Mendaki. Beliau merintis pembentukan pusat-pusat satelit MENDAKI di beberapa kawasan perumahan Singapura.

Pusat-pusat itu ditubuhkan bagi mendekati masyarakat supaya mereka dapat memanfaatkan khidmat-khidmat yang disediakan Mendaki dan pemerintah.

Dalam kurang lima tahun sahaja, MENDAKI mempunyai tujuh pusat sedemikian. Pusat ketujuhnya dijangka mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.

Di bawah kepimpinannya juga, MENDAKI menjalankan kajian bagi membantu badan-badan Melayu/Islam menjalani transfromasi digital. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan