Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob kongsi pengalaman sebagai menteri; ingin terus menyumbang dan kepentingan masyarakat tetap dekat di hatinya

Menyandang jawatan sebagai seorang Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam adalah sesuatu yang mencabar.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Yaacob kongsi pengalaman sebagai menteri; ingin terus menyumbang dan kepentingan masyarakat tetap dekat di hatinya

(Gambar: Mahkamah Syariah Singapura)

Diterbitkan : 13 May 2018 10:37AM Dikemas Kini : 13 May 2018 10:40AM

SINGAPURA: Menyandang jawatan sebagai seorang Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam adalah sesuatu yang mencabar.

Ini dikongsi Dr Yaacob Ibrahim dalam satu wawancara bersama Mediacorp.

Masyarakat Melayu/Islam menjadi perhatian menyusuli serangan 11 September di Amerika Syarikat. Ini satu cabaran baginya yang ketika itu baru saja menggalas tugas sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Kemunculan kumpulan Jemaah Islamiyah tidak lama selepas itu memburukkan lagi keadaan.

"Mendapat perhatian orang ramai sudah tentu bukan sesuatu yang menyenangkan tetapi ia sebahagian daripada kepimpanan saya dan saya perlu menanganinya. "

Cabaran beliau tidak berhenti di situ saja, beliau sebaliknya berdepan dengan pelbagai cabaran lain. "Terdapat kebimbangan dalam beberapa segmen Pemerintah tentang masyarakat kita yang dikhuatiri bersifat konservatif dan 'eksklusif'. Ini mewujudkan satu persepsi bahawa masyarakat kita ingin bersendirian. Namun, apabila saya meninjau di peringkat akar umbi, saya dapat melihat perpaduan dan integrasi dalam kehidupan harian orang ramai. Kadangkala, kami menjadi mangsa satu atau dua orang yang lebih lantang menyuarakan pandangan mereka."

Dr Yaacob melihat ini sebagai "cabaran penting untuk meningkatkan kesedaran Pemerintah bahawa ini bukan gambaran sebenar tentang masyarakat Melayu/Islam.

SYAK WASANGKA RAKYAT: DR YAACOB 'ORANG PEMERINTAH'?

Bagaimanapun, beliau tetap perlu menjelaskan kepada masyarakat mengapa Pemerintah mempunyai kebimbangan sedemikian.

"Kadangkala Pemerintah mengutarakan kebimbangannya, bukan kerana ia sangsi terhadap masyarakat itu, tetapi bimbang pada dasar lebih utama tentang bagaimana semua rakyat dapat disatukan. Pemerintah tidak menolak amalan agama Islam tetapi ingin melihat bagaimana kita boleh mencapai keseimbangan. Isu-isu seperti tudung, bersalaman, bertegur-sapa dan isu tentang sama ada lebih ramai Melayu ingin ke Madrasah dan sebagainya - merupakan isu-isu yang perlu saya tangani dan ia bukanlah mudah."

Beliau turut menghargai usaha Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk mendampingi masyarakat untuk memahami isu ini dengan lebih mendalam.

Namun, ini tidak bermakna, semua cabaran terlerai.

"Saya rasa ketegangan akan sentiasa wujud dan akan ada ramai yang tampil untuk menyuarakan pandangan mereka. Ia tentang mencapai keseimbangan secara berterusan.

"Saya sering melihat diri saya sebagai orang tengah, yang cuba mengimbangi keprihatinan Pemerintah dengan kepentingan masyarakat. Saya selalu rasa ia adalah tanggungjawab saya bagi memastikan saya menyuarakan pandangan kedua-dua pihak supaya Pemerintah dapat memahaminya dengan lebih baik."

Malangnya, sesetengah masyarakat berfikir beliau hanya cuba menegakkan kepentingan Pemerintah dan bukan masyarakat.

"Akan selalu ada syak wasangka bahawa saya 'orang Pemerintah', saya perlu bercakap dalam lingo Pemerintah. Tetapi saya juga anggota masyarakat. Kepentingan masyarakat tetap dekat di hati saya. Saya berharap sepanjang 16 tahun lalu, saya mampu meyakinkan mereka bahawa saya benar-benar prihatin tentang mereka. Pendekatannya mungkin berbeza, tetapi niatnya sama. Saya akan katakan, biarlah sejarah yang mengadili. Saya tidak boleh katakan apa-apa lagi."

INGIN TINGGALKAN DUNIA POLITIK?

Apabila ditanya sama ada beliau akan tetap menjadi seorang Anggota Parlimen, jawapan awalnya agak ringkas.

"Anda perlu tanyakan perkara itu kepada Perdana Menteri."

Namun, beliau kemudian mengulas lebih lanjut sambil mengatakan bahawa beliau mempunyai pertimbangan lain meskipun tidak tahu jika beliau akan ikut bertanding pada masa akan datang.

"Saya akan berterus terang dengan anda. Keluarga saya ingin saya bersara. Mereka fikir saya sudah terlalu lama berkhidmat dan sudah tiba masanya saya mengutamakan perkara lain dalam kehidupan saya. Mereka tahu saya kerja dengan gigih. Mereka tahu tentang tanggungjawab saya sepanjang 22 tahun lalu. Saya rasa mereka berfikir sudah masanya saya melakukan sesuatu yang lebih ringan.

"Tetapi saya 'orang parti'. Saya akan menunggu arahan daripada Perdana Menteri. Saya akan membuat penilaian dan berfikir tentang keutamaan saya dengan sewajarnya," kata Dr Yaacob.

Ketika ditanya apa yang beliau sendiri inginkan, ini jawapan beliau: "Saya masih ingin menyumbang. Saya bukan seseorang yang boleh duduk diam. Jika saya terus menjadi seorang AP, saya akan memainkan peranan saya. Jika tidak, saya akan cari cara lain untuk menyumbang kepada masyarakat".

Yang jelas, beliau masih terbuka kepada bagaimana beliau boleh terus menyumbang.

"Saya belum bersara sebagai anggota masyarakat Melayu/Islam. Saya akan mencari ruang di mana saya boleh berkhidmat dan terus menyumbang.

"Di peringkat nasional pula, saya fikir ekonomi digital dan transformasi digital adalah evolusi menarik yang sedang berlaku sekarang. Saya menjadi sebahagian daripada ini sejak tujuh tahun lalu sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan. Dengan itu, saya nantikan bagaimana saya boleh terus memainkan peranan bagi memastikan transformasi itu." 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan