Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob kongsi cerita-cerita belakang tabir tentang urusan haji S'pura

Banyak usaha dan rundingan-rundingan yang berlaku di belakang tabir setiap tahun dalam pengurusan Haji bagi jemaah Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Yaacob kongsi cerita-cerita belakang tabir tentang urusan haji S'pura

(Gambar: Ahmad Al-Rubaye/AFP)

SINGAPURA: Banyak usaha dan rundingan-rundingan yang berlaku di belakang tabir setiap tahun dalam pengurusan Haji bagi jemaah Singapura.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Singapura misalnya, perlu ke Arab Saudi setiap tahun untuk merundingkan semula syarat dan terma, serta menandatangani kontrak haji - juga setiap tahun.

Tanpa kontrak tersebut, syarikat-syarikat haji Singapura tidak boleh beroperasi di Arab Saudi.

Demikian kongsi mantan menteri Dr Yaacob Ibrahim mengenai aspek-aspek pengurusan Haji yang tidak diketahui orang ramai. Maklumat itu dikongsi dalam ucaptama beliau semasa persidangan "Akademik dan Kisah-Kisah Haji dari Kampong Kaji ke Tanah Suci" anjuran Taman Warisan Melayu, pada Jumaat lalu (1 Mac).

KUOTA HAJI SATU ISU PENTING SETIAP TAHUN

Ramai orang mungkin tidak tahu bahawa lebih 14,000 jemaah haji berlepas dari Singapura ke Tanah Suci Makkah pada tahun 1900.

Singapura merupakan hab haji Asia Tenggara ketika itu dan itulah antara sumbangan besar Singapura di peringkat antarabangsa dalam soal haji.

Namun, keadaan kini sudah banyak berubah, khususnya setelah Arab Saudi melaksanakan kuota haji bagi semua negara.

Jika sebelum itu sehingga 5,000 jemaah Singapura mengerjakan haji setiap tahun, bilangannya kemudian merosot kepada 680, dan kini hanya 900 sahaja dek kuota haji.

Jemaah S'pura di Makkah. 

Dr Yaacob, yang menjadi Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam selama 16 tahun, berkongsi betapa kuota haji sentiasa menjadi isu penting setiap tahun semasa kunjungan tahunannya ke Arab Saudi.

Maka itu, setiap tahun beliau meminta tambahan kepada kuota haji semasa bertemu Menteri Haji Saudi.

"Selama 16 tahun, setiap pertemuan saya terus meminta kepada Menteri dari Saudi untuk menambah kuota kita.

"(Pemberian) bukan di tangan beliau di tangan Raja Arab Saudi. Beliau boleh memberi saranan yang baik untuk pihak kita. Jadi saya rasa hubungan yang baik antara pihak Saudi dengan kita dapat membantu untuk mendapatkan lebih banyak kuota," ujar Dr Yaacob.

ISU JEMAAH S'PURA GUNAKAN TERLALU BANYAK AIR!

Dr Yaacob juga mendedahkan bahawa beliau kekadang "malu untuk berkata" bahawa pertemuan beliau dengan Menteri Haji Saudi lazimnya antara yang paling pendek di kalangan kesemua negara, kerana tidak banyak isu atau masalah dibincangkan. Ini kerana operasi haji Singapura sangat baik dan licin dan lazimnya dipuji oleh para pegawai kerajaan Saudi.

Namun demikian, pada satu tahun, ini kritikan paling pedas yang pernah beliau terima dari Arab Saudi: Jemaah Singapura menggunakan terlalu banyak air! Sebilangan jemaah Singapura mempunyai tabiat mandi selepas setiap waktu solat, kongsi Dr Yaacob.

Dalam ucaptama beliau itu, Dr Yaacob juga berkongsi pengalaman peribadi yang mengerikan.

Iaitu beliau hampir dirempuh dan mungkin terjatuh ke dalam kawah Jamrah sewaktu menjalani ibadah haji buat pertama kali pada 2003. Mujur, tindakan pantas seorang pegawai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berjaya menyelamatkan beliau.

Kini, kawasan itu sudah dipertingkat dan lebih selamat untuk para jemaah Haji, kata mantan Menteri Perhubungan dan Penerangan itu.

BANYAK PERKONGSIAN PAKAR TENTANG HAJI

Persidangan haji selama dua hari itu (1-2 Mac) bertujuan membentangkan aspek-aspek ibadah haji di Asia Tenggara, menjangkaui aspek kerohanian kepada segi sejarah dan kebudayaan.

Sekitar 20 pakar dari dalam dan luar negara berkongsi pandangan mereka semasa persidangan itu yang dihadiri seramai 150 orang.

Menurut kurator Taman Warisan Melayu, Cik Suhaili Osman: "Beberapa pensyarah dan ahli akademik pelbagai bidang dari beberapa negara telah dijemput untuk membuat pembentangan tentang kajian mereka dalam pelbagai aspek perjalanan Haji."

"Ini termasuk kajian mengenai Singapura dan Kampong Gelam yang pernah menjadi pusat bagi para jemaah haji dari seluruh kepulauan Melayu bertolak ke tanah suci melalui kapal Haji antara abad ke-19 hingga 1970an."

Persidangan itu dianjurkan sempena pameran khas "Undangan ke Baitullah: Kisah-kisah Haji dari Dunia Melayu ke Makkah" anjuran Taman Warisan Melayu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan