Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Yaacob Ibrahim antara 3 menteri veteran yang lepaskan jawatan, beri laluan kepada pemimpin muda

Apabila Encik Lim Hng Kiang, Encik Lim Swee Say dan Dr Yaacob Ibrahim melepaskan jawatan menteri masing-masing pada 1 Mei, mereka akan meninggalkan pengalaman 66 tahun secara kolektif sebagai pemegang jawatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Apr 2018 07:16PM Dikemas Kini : 25 Apr 2018 12:51AM

SINGAPURA: Apabila Encik Lim Hng Kiang, Encik Lim Swee Say dan Dr Yaacob Ibrahim melepaskan jawatan menteri masing-masing pada 1 Mei, mereka akan meninggalkan pengalaman 66 tahun secara kolektif sebagai pemegang jawatan.

Perubahan kabinet, yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (24 Apr), pertama kali diusulkan pada Februari lalu. PM Lee turut mengatakan bahawa menteri-menteri lebih muda akan diberi lebih banyak pendedahan dan tanggungjawab supaya mereka lebih berupaya menyokong perdana menteri seterusnya.

"Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Encik Lim Hng Kiang, Encik Lim Swee Say dan Dr Yaacob Ibrahim atas khidmat dan sumbangan mereka, dalam pelbagai portfolio sepanjang kerjaya mereka dalam bidang politik," menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

Encik Lim akan terus menyumbang kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM). Pengumuman hari ini (24 Apr) mendedahkan bahawa beliau dilantik sebagai Penasihat Khas yang akan berkuat kuasa bermula 1 Mei. Melalui peranan ini, beliau akan memberi nasihat berkaitan strategi-strategi ekonomi bagi meningkatkan keupayaan dan mengembangkan jangkauan negara di persada antarabangsa.

Menurut MTI, Menteri yang akan melepaskan jawatan itu juga akan memberi pencerahan tentang pelibatan dan usaha Singapura dalam forum-forum perdagangan berbilang negara.

Ayuh kita menyingkap perjalanan mereka dalam bidang politik serta sumbangan mereka kepada negara ini.

DR YAACOB IBRAHIM

Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber Dr Yaacob Ibrahim merupakan salah seorang daripada tiga menteri yang akan melepaskan jawatan. Beliau juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Dr Yaacob menceburi bidang politik pada tahun 1997 dan dilantik sebagai Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Jalan Besar.

Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Perhubungan pada 1998, sebelum menjadi Menteri Negara Pembangunan Masyarakat dan Sukan pada 2001.

Setahun selepas itu, beliau menyandang jawatan sebagai Pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat dan Sukan. Beliau juga menyandang tugas sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, sebelum menjadi menteri penuh pada 2003.

Beliau kemudian berkhidmat di Kementerian Sekitaran dan Sumber Air pada 2004, di mana beliau terus berkhidmat di kementerian tersebut selama tujuh tahun.

Selepas Pilihan Raya Umum 2011, Dr Yaacob dilantik sebagai Menteri Perhubungan, Penerangan dan Kesenian, namun menyusuli penyusunan semula yang dijalankan setahun kemudian, beliau menyandang jawatan sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan sehingga sekarang.

Beliau memikul tanggungjawab lebih berat apabila dilantik sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber pada 2015. Beliau turut menyelia Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) - agensi yang bertanggungjawab melindungi prasarana IT utama negara.

ENCIK LIM HNG KIANG

Encik Lim Hng Kiang, Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Perdagangan), merupakan penyandang jawatan yang paling lama berkhidmat dalam kalangan tiga menteri yang bakal melepaskan jawatan masing-masing. Beliau menyandang jawatannya sejak 2015 setelah kementerian itu dibahagikan kepada dua portfolio berbeza bagi sektor perdagangan dan perusahaan. Namun beliau menyandang jawatan Menteri Perdagangan sejak 2004.

Encik Lim yang berusia 64 tahun memegang jawatan sebagai Menteri Negara Pembangunan Negara pada 1991 sejurus selepas beliau dilantik sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar - iaitu kawasan undi di bawah mendiang Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew - di bawah PAP. Beliau bertanding bagi GRC West Coast dalam pilihan raya selanjutnya dan masih berkhidmat di kawasan undi itu sehingga hari ini.

Sejak itu, beliau menggalas pelbagai tugas, menjadi Pemangku Menteri MND pada 1994 sebelum menjadi menteri penuh setahun kemudian. Beliau juga pernah memegang portfolio di Kementerian Kesihatan pada 1999, di mana beliau menangani penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003.

Selepas itu, beliau menyandang jawatan sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri pada 2003.

Selain dilantik sebagai menteri kabinet, Encik Lim Hng Kiang juga adalah Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Pengarah Lembaga GIC.

ENCIK LIM SWEE SAY

Seperti Encik Lim Hng Kiang, Encik Lim Swee Say mengongsi perjalanan kerjaya politik yang serupa. Pada awal kerjayanya dalam bidang politik, beliau menjadi AP di GRC yang dipimpin Lee Kuan Yew, iaitu Tanjong Pagar, pada 1997.

Beliau juga dilantik sebagai Menteri Negara Perhubungan dan Teknologi Maklumat merangkap Perdagangan dan Perusahaan - dalam pelantikan politik pertamanya pada 1999.

Setahun kemudian, beliau dijadikan Pemangku Menteri Sekitaran sebelum menjadi menteri di kementerian itu pada 2001.

Beliau kembali berkhidmat dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) sebagai Timbalan Setiausaha Agung pada 2004. Pada masa yang sama, beliau menyandang jawatan sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri selain memegang jawatan sebagai Menteri Kedua Pembangunan Negara. Jawatan pertama di NTUC disandangnya dari 1997 sehingga 1999.

Beliau selanjutnya menjadi ketua Gerakan Buruh pada Januari 2007, jawatan yang dipegangnya selama lebih lapan tahun sebelum beliau menggalas tugas sebagai Menteri Tenaga Manusia pada Mei 2015.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan