Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Tan Cheng Bock belum bersedia pimpin perikatan pembangkang

Setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, mendedahkan beliau belum bersedia untuk memimpin sebuah perikatan parti-parti pembangkang meskipun diundang untuk berbuat sedemikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Tan Cheng Bock belum bersedia pimpin perikatan pembangkang

(Gambar: Ooi Boon Keong)

Diterbitkan : 12 Jan 2020 09:32PM Dikemas Kini : 12 Jan 2020 09:44PM

SINGAPURA: Setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Dr Tan Cheng Bock, mendedahkan beliau belum bersedia untuk memimpin sebuah perikatan parti-parti pembangkang meskipun diundang untuk berbuat sedemikian.

Bercakap kepada wartawan pada Ahad (12 Jan) selepas membuat lawatan menemui penduduk di Pasar dan Pusat Makanan Teban Gardens, Encik Tan berkata tumpuan beliau buat masa ini adalah pada parti politiknya sendiri.

Pemimpin empat parti pembangkang yang lebih kecil sebelum ini mengesahkan kepada Mediacorp bahawa mereka sedang membentuk satu perikatan bagi Pilihan Raya Umum (GE) akan datang di bawah satu payung dan sedang merundingkan jumlah calon yang akan dipertandingkan.

Perikatan tersebut terdiri daripada parti Warga Diutamakan (SingFirst), Parti Pembaharuan (RP), Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Progresif Demokratik, namun para pemimpin parti-parti itu berkata parti lain juga dialu-alukan untuk turut serta kelak.

Desas desus tentang parti-parti pembangkang membentuk perikatan mula timbul pada Julai 2018 dalam mesyuarat melibatkan keempat-empat parti itu selain Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan Parti Suara Rakyat.

Rancangan mereka ketika itu adalah untuk mengundang Dr Tan memimpin mereka, namun ini sebelum bekas calon presiden itu mengumumkan beliau akan menubuhkan PSP.

Bercakap kepada Mediacorp minggu lalu, setiausaha agung SingFirst, Encik Tan Chee Say, berkata keempat-empat parti masih mengalu-alukan mengharapkan persetujuan Dr Tan untuk memimpin perikatan tersebut.

Meskipun Dr Tan berkata beliau belum bersedia memberi komitmen kepada perikatan itu buat masa ini, beliau tidak menolak gagasan itu sepenuhnya.

"Kemungkinan besar kita mahu melihat kami semua bergabung namun bentuk serta cara untuk kami bergabung masih terbuka," kata Dr Tan kepada para wartawan yang membuat liputan lawatan beliau berserta pasukannya di Teban Gardens, yang terletak di divisyen Ayer Rajah di bawah GRC West Coast.

PSP KENAL PASTI KAWASAN UNTUK DITANDINGI

Dr Tan berkhidmat sebagai seorang Anggota Parlimen (AP) selama 26 tahun di Ayer Rajah di bawah naugan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebelum meninggalkan bidang politik pada 2006.

Apabila ditanya sebab beliau ke kawasan itu, Dr Tan berkata PSP sedang mengenal pasti kawasan yang boleh ia tandingi dalam Pilihan Raya akan datang.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan-kawasan lain yang sedang dipertimbangkan parti itu.

Semasa lawatannya itu, Dr Tan terserempak dengan AP GRC West Coast Cik Foo Mee Har di pusat penjaja makanan, sedang bersarapan. Mereka saling bertegur sapa.

Dr Tan kemudian memberitahu para wartawan: "Cik Foo Mee Har baik. Saya dengar beliau menjaga (para penduduk) dengan baik."

Dr Tan juga memuji pasukan PAP kerana melakukan kerja yang baik menjaga Ayer Rajah setelah beliau meletak jawatan sebagai AP.

"Begitulah cara yang seharusnya. Tidak kira sama ada saya atau orang lain namun yang penting adalah memastikan penduduk di kawasan ini diberikan kemudahan yang mereka minta," tambah beliau.

Selain membuat kunjungan ke pusat makanan, PSP juga buat pertama kali pada Ahad membuat kunjungan dari rumah ke rumah di kawasan tersebut, membayangkan persiapan yang dipergiat menjelang GE.

"Semuanya sudah dirancang rapi," kata Dr Tan.

"Jika pilihan raya diadakan esok, kami tahu apa yang akan kami lakukan. Jika ia diadakan bulan depan, kami juga tahu apa yang ingin kami lakukan."

Dr Tan juga berkata PSP sedang menyiapkan ibu pejabatnya namun enggan memberitahu di mana tempatnya dan bila ia akan didedahkan.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan