Images
  • hawker
    (Gambar fail: TODAY) 

Dr Suriani Suratman antara 14 ahli jawatankuasa nasihat pencalonan budaya penjaja S'pura untuk UNESCO

SINGAPURA: Sebuah Jawatankuasa 14 anggota dilantik untuk menyelia dan memberi nasihat kepada pencalonan budaya penjaja Singapura yang unik dalam Senarai Wakil UNESCO Warisan Budaya Bagi Kemanusiaan Yang Tidak Ternilai.

Ia akan dipengerusikan bersama oleh CEO Lembaga Warisan Negara Chang Hwee Nee, CEO Agensi Sekitaran Kebangsaan Tan Meng Dui dan Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Yeo Hiang Meng, menurut satu kenyataan oleh ketiga-tiga badan tersebut pada Isnin (22 Okt).

Anggota jawatankuasa yang lain datang dari sektor awam, swasta dan masyarakat dengan pengetahuan dan kepakaran dalam bidang-bidang seperti pendampingan masyarakat, pendidikan dan warisan makanan.

Mereka termasuk pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) Dr Suriani Suratman dan pengarah di Kementerian Pendidikan Encik Puvan Ariaratnam.

Jawatankuasa tersebut akan memberikan cadangan, maklumbalas dan nasihat mengenai dokumen pencalonan untuk dikemukakan kepada UNESCO pada Mac 2019, selain menggalakkan penyertaan masyarakat dan sokongan bagi pencalonan Singapura, yang merupakan komponen penting dalam penilaian UNESCO.

Keputusannya dijangkakan menjelang akhir tahun 2020.

Keputusan untuk mencalonkan budaya penjaja diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos, di mana beliau bercakap tentang pusat penjaja sebagai sebahagian unik masyarakat, warisan dan identiti Singapura.

"Pusat penjaja adalah ruang makan masyarakat kita," kata Encik Lee ketika berucap dalam bahasa Mandarin. Beliau menarik perhatian bagaimana semua warga Singapura tanpa mengira kaum, agama dan kumpulan pendapatan dapat makan bersama di pusat penjaja.

Senarai Wakil UNESCO Warisan Budaya Bagi Kemanusiaan Yang Tidak Ternilai dimulakan pada tahun 2008.

Jika berjaya, budaya penjaja itu akan menjadi pengiktirafan kedua oleh UNESCO selepas Kebun Bunga Singapura, diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tiga tahun lalu.

- CNA/TQ/tq

Top