Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Nazirudin mula galas tugas Mufti Negara; hargai sokongan dan doa umat Islam S'pura

Dr Nazirudin Mohd Nasir memulakan lembaran baru sebagai Mufti Negara pada Ahad (1 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Nazirudin mula galas tugas Mufti Negara; hargai sokongan dan doa umat Islam S'pura

(Gambar: BERITAmediacorp/Ummu Rabbisyfina)

SINGAPURA: Dr Nazirudin Mohd Nasir memulakan lembaran baru sebagai Mufti Negara pada Ahad (1 Mac).

Beliau mengambil alih jawatan itu selepas Dr Mohamed Fatris Bakaram melepaskan jawatan tersebut setelah berkhidmat sebagai Mufti Negara selama 9 tahun.

Menulis di laman Facebook pada Ahad (1 Mac), Dr Nazirudin berkata dengan rendah hati beliau menghargai kepercayaan, sokongan dan doa oleh masyarakat Melayu/Islam Singapura sedang beliau memikul tanggungjawab baru itu.

Menurut Dr Nazirudin, beliau akan berusaha untuk meneruskan kerja keras Mufti Negara yang terdahulu, khususnya dalam menerapkan nilai-nilai agama, prinsip dan adat sedang beliau dan rakan-rakan sekerja di Pejabat Mufti mencari penyelesaian bagi isu-isu rumit yang timbul.

"Hari ini, masyarakat kita menunjukkan kemajuan penting dalam kehidupan agama kita - kita dapat menyesuaikan diri dengan baik mengikut konteks sosial dan kami yakin dengan identiti keagamaan kita hidup bersama secara harmoni dengan jiran tetangga dan rakan-rakan daripada masyarakat lain sambil menyumbang kepada kemaslahatan masyarakat," tulis beliau dalam catatan itu.

Menyentuh tentang situasi COVID-19 yang menular sekarang, Dr Nazirudin berkata beliau terdorong daripada respons pantas masyarakat dan kesediaan mereka untuk membuat penyesuaian kepada amalan keagamaan demi keselamatan institusi agama dan masyarakat.

"Masyarakat kita didorong oleh belas ihsan - masjid-masjid, pelajar madrasah dan ramai lagi yang tampil bagi menunjukkan penghargaan kepada para pekerja perubatan dan jagaan kesihatan barisan hadapan untuk mengumpulkan dana bagi membantu mereka yang terjejas oleh virus COVID-19," menurut Dr Nazirudin.

Beliau juga menggesa masyarakat supaya terus bersatu dan mengekalkan semangat perpaduan sedang kita berdepan dengan cabaran global yang menjejas seluruh masyarakat.

"Semoga Allah s.w.t memelihara keamanan dan kestabilan negara kita, dan mengurniakan kita keberanian dan ketabahan untuk mengharungi cabaran. Saya memohon sokongan dan doa anda sedang saya jalankan tanggungjawab dan laksanakan kepercayaan ini," demikian menurut Dr Nazirudin sebelum mengakhiri catatannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan