Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Maliki: Kurikulum baru CCE bagi topik tentang perkauman akan lebih tumpu kepada isu semasa

Kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) yang baru bagi sekolah-sekolah menengah akan lebih memberikan tumpuan kepada isu-isu semasa, berhubung topik kepelbagaian dan silang kaum.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Maliki: Kurikulum baru CCE bagi topik tentang perkauman akan lebih tumpu kepada isu semasa

(Gambar: Parveen Kaur; Petikan skrin: Facebook/Dave Parkash)

SINGAPURA: Kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) yang baru bagi sekolah-sekolah menengah akan lebih memberikan tumpuan kepada isu-isu semasa, berhubung topik kepelbagaian dan silang kaum.

Langkah itu bertujuan menjadikan pembelajaran CCE lebih relevan dengan profil para pelajar masa kini, dedah Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohd Maliki Osman kepada BERITAmediacorp.

Sebelum ini, topik-topik berkaitan perkauman diajar di peringkat sekolah menengah dengan kisah-kisah sejarah rusuhan kaum tahun 1964 antara masyarakat Melayu dengan Cina sering ditonjolkan.

Bagaimanapun lain dulu lain sekarang - anak-anak zaman sekarang memerlukan lebih daripada itu.

Lantaran itu, kata Dr Maliki Osman, Kementerian Pendidikan (MOE) memutuskan untuk lebih menumpu perhatian kepada isu semasa di dalam kurikulum baru mata pelajaran CCE.

"Hari ini keadaan sudah berbeza. Keadaan yang mana isu-isu perhubungan kaum timbul kerana apa yang terdedah di media sosial misalnya apa yang berlaku di negara-negara lain.

"Para guru harus bersedia untuk membincangkan isu-isu ini dan insiden-insiden yang berlaku di negara-negara lain dan bagaimana apa yang berlaku sama atau berbeza dengan keadaan Singapura. Apa yang dilakukan di sana dan apa yang boleh dilakukan di sini," ujar beliau.

PERANAN GURU JUGA DIPERTINGKAT

Dr Maliki menambah bahawa peranan guru-guru yang mengajar subjek CCE kurikulum baru itu juga bakal dipertingkat. Iaitu, mereka 'bukan sekadar mengajar' tetapi mengendalikan perbincangan yang lebih realistik.

Dr Maliki berkata: "Jadi mereka harus bersedia untuk menggunakan diri mereka dan pengalaman mereka sendiri dan mengongsi pengalaman tersebut kepada anak didik mereka kerana cara ini menunjukkan kepada anak didik mereka bahawa pengalaman mereka (murid) sama dan tidak jauh beza dengan pengalaman guru-guru mereka.

"Kedua adalah - memberi anak didik mereka sesuatu keyakinan bahawa isu-isu sensitif tidak semestinya tidak boleh dikendalikan. Kita tidak takut untuk mengendalikan ataupun memastikan kita menghuraikan masalah yang mungkin timbul dengan cara yang aman dan sesuai."

MOE sebelum ini sudahpun mendedahkan bahawa menjelang tahun depan, semua sekolah menengah di sini akan mempunyai guru-guru khusus bagi subjek CCE.

"Guru-guru akan melihat bagaimana aspek-aspek sensitif dapat dikupas dalam kelas-kelas mereka dan bagaimana kalau terdapat situasi yang mungkin hangat perbincangannya, bagaimana guru-guru boleh menggunakan kemahiran untuk meredakan keadaan.

"Dan ini bukan saja dari segi pembelajaran tetapi ia menunjukkan kepada anak-anak itu, guru sebagai peran contoh," kata Dr Maliki.

Kurikulum CCE baru itu sudahpun dimulakan bagi pelajar menengah satu dan dua tahun ini dan akan dilanjutkan ke menengah tiga hingga lima mulai tahun depan. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan