Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Maliki ingin pastikan peniaga Melayu terus bertapak di Tanjong Katong Complex yang 'baru'

'Orang kuat' Geylang Serai, Dr Maliki Osman, memberi jaminan "ciri-ciri kemelayuan" Tanjong Katong Complex ingin terus dikekalkan walaupun ia nanti akan berwajah baru. Antara ciri yang beliau maksudkan itu termasuklah memastikan para peniaga Melayu dapat terus bertapak di TKC. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 'Orang kuat' Geylang Serai, Dr Maliki Osman, memberi jaminan "ciri-ciri kemelayuan" Tanjong Katong Complex ingin terus dikekalkan walaupun ia nanti akan berwajah baru. Antara ciri yang beliau maksudkan itu termasuklah memastikan para peniaga Melayu dapat terus bertapak di TKC apabila ia dibuka semula.

Dr Maliki berkata demikian semasa diminta mengulas tentang projek peningkatan TKC selaku Pengerusi Jawatankuasa yang menerajui projek Jalur Budaya Geylang Serai - iaitu usaha merancakkan kawasan antara Kelab Masyarakat Kampong Ubi hinggalah ke TKC.

Memandangkan kerja-kerja naik taraf TKC bakal dijalankan pada skala besar bermula separuh kedua 2023, semua penyewa TKC perlu mengosongkan premis itu paling lewat 30 Jun 2023.

(Gambar fail: Facebook)

"Kami mendapat maklum balas bahawa ada yang ingin kembali ke TKC. Kami akan berkerjasama dengan SLA untuk terus memastikan bahawa ciri-ciri kemelayuan terus wujud dalam campuran perdagangan TKC," kata Dr Maliki.

Salah satu ciri utama Jalur Budaya Geylang Serai yang ingin dibangunkan, tambah beliau lagi, sememangnya adalah untuk memastikan bahawa para peniaga Melayu dapat terus bertapak di Geylang Serai.

TKC selama ini sinomin dengan pelbagai perniagaan yang sebahagian besarnya berkait rapat dengan masyarakat Melayu - seperti kedai dan butik fesyen Melayu, dewan perkahwinan Melayu dan perniagaan yang menyasar kepada pelanggan Melayu.

"Tetapi saya harap para peniaga juga faham bahawa ini (mengosongkan premis) merupakan satu langkah yang perlu dilakukan untuk menaik taraf TKC. Kami prihatin tentang keperluan para peniaga dan harapkan mereka dapat mencari tempat untuk meneruskan perniagaan masing-masing sepanjang TKC diubah elok," ujar Dr Maliki lagi.

Beliau turut menanti-nantikan peluang untuk melihat gabungan peniaga yang veteran dan yang muda di TKC kerana itu menurutnya akan menyegarkan lagi kawasan Jalur Budaya Geylang Serai.

Apa pun, Dr Maliki gembira TKC akan diberi nafas baru dengan ciri-ciri ikoniknya terus dikekalkan. Ini merupakan kali pertama bangunan itu menjalani kerja-kerja naik taraf besar-besaran sejak ia dibina pada 1984.

(Gambar: SLA)

"Ia memberi masyarakat kita satu harapan baru kepada TKC (kerana) apabila kita melihat ruang ataupun kawasan Paya Lebar, kita melihat banyak bangunan-bangunan baru," ulas Dr Maliki.

Menurut SLA, kesemuanya terdapat 106 penyewa di TKC buat masa ini. Tempoh pajakan mereka seharusnya berakhir pada Disember 2022 tetapi SLA memutuskan untuk melanjutkannya kepada 30 Jun 2023.

Ini demi membolehkan mereka memanfaatkan permintaan tinggi yang dijangkakan pada musim Hari Raya pada April 2023. SLA berharap notis 18 bulan ini juga akan memberi para peniaga TKC masa untuk mencari tempat baru.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan