Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Maliki beri jaminan pelajar berdepan diskriminasi akan dilindungi jika beri maklum balas

Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman memberi jaminan bahawa maklum balas pelajar mahupun kakitangan yang berdepan dengan sebarang bentuk diskriminasi di sekolah, akan dirahsiakan dan ditangani secara berhati-hati.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Kedua Pendidikan Dr Maliki Osman memberi jaminan bahawa maklum balas pelajar mahupun kakitangan yang berdepan dengan sebarang bentuk diskriminasi di sekolah, akan dirahsiakan dan ditangani secara berhati-hati.

Jika perlu, sesebuah institusi pendidikan itu malah akan mengambil langkah untuk melindungi keselamatan mereka yang terkait dengan insiden sedemikian.

Ini termasuk mengeluarkan perintah di mana sebarang perhubungan antara pengadu dengan pelaku tidak dibolehkan sama sekali.

Dr Maliki berkata demikian di Parlimen hari ini (5 Jul) sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Parti Pekerja Raeesah Khan dan Anggota Parlimen Dilantik Dr Shahira Abdullah tentang bagaimana Kementerian Pendidikan (MOE) menangani keprihatinan pelajar mengenai diskriminasi berbaur perkauman di sekolah.

Awal bulan lalu, seorang mahasiswa bernama Nurul Fatimah Iskandar, mendakwa bekas pensyarahnya di Politeknik Ngee Ann mengeluarkan kata-kata berunsur Islamofobia semasa di dalam kelas pada 2017.

Nurul berkongsi tentang perkara ini menerusi Instagram selepas bekas pensyarahnya itu mendapat sorotan media kerana menghambur komen-komen perkauman terhadap satu pasangan berlainan kaum.

Menerusi catatannya, Nurul mengatakan beliau membuat aduan terhadap pensyarahnya pada 2017 tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku selepas itu.

Nurul bagaimanapun tidak dapat ingat kembali jika beliau memberi maklum balas tentang insiden itu menerusi emel ataupun perbincangan kumpulan fokus (FGD).

PROSES PELAJAR BOLEH BUAT ADUAN

Dr Maliki berkata institusi-institusi pendidikan akan terus memperkukuh proses maklum balas mereka dan menggalak para pelajar untuk tampil dan berbicara tentang sebarang insiden diskriminasi.

"Kurikulum dan dasar-dasar di dalam sekolah-sekolah MOE dan institusi pengajian tinggi juga sering disemak semula (dengan) mengambil maklum balas para pendidik, pelajar dan ibu bapa menerusi sesi-sesi pendampingan yang sering diadakan," kata Dr Maliki.

Namun para pelajar dan kakitangan sekolah yang mengalami sebarang bentuk diskriminasi juga "tidak harus teragak-agak" untuk mengemukakan insiden seperti ini.

(Gambar fail: TODAY) 

"Saluran maklum balas dan proses untuk pelajar melakukan demikian termasuk bertemu muka atau mengirimkan emel kepada pegawai kanan atau anggota fakulti sekolah, dan (ada) juga mekanisme maklum balas rasmi yang lain," terang Dr Maliki.

"Di sekolah, para pelajar sudah diberitahu bahawa mereka boleh mengemukakan sebarang masalah kepada guru atau kakitangan sekolah. Di IHL, maklumat tentang saluran-saluran maklum balas diterbitkan di pelbagai platform, termasuk laman rasmi, buku panduan dan portal sekolah."

Pengadu boleh memilih untuk tidak mendedahkan identiti mereka tetapi mereka digalak supaya tidak berbuat demikian supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan, kata Dr Maliki.

"Sebaik sahaja kes dilancarkan, institusi akan segera mengambil tindakan dan menyediakan kaunseling kepada mereka yang terjejas. Individu-individu terlibat akan ditemu bual dan segala bukti akan dikumpul untuk mengesahkan fakta-fakta kes," kata Dr Maliki lagi.

"Mereka yang didapati melanggar kod tata laku akan dikenakan tindakan disiplin dan menjalani kaunseling yang sewajarnya."

PERLUKAH LAPORAN TAHUNAN DIKELUARKAN?

Dalam soalan tambahannya kepada Dr Maliki, Cik Raeesah Khan bertanya jika Kementerian Pendidikan (MOE) akan menerbitkan laporan tahunan tentang kes-kes sedemikian "demi meningkatkan kesedaran tentang usaha MOE dalam mencegah diskriminasi".

Menjawab, Dr Maliki berkata beliau tidak melihat kepentingan untuk melakukan perkara itu kerana jumlah insiden diskriminasi yang berlaku di sekolah "sangat rendah".

Beliau menambah bahawa setiap kes ditangani secara menyeluruh.

"Kami akan menyediakan peluang kepada para pelajar untuk berkongsi keprihatinan mereka menerusi pelbagai saluran. Setiap sekolah akan mempunyai mekanisme masing-masing untuk menjalankan siasatan," jamin Dr Maliki.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan