Images
  • gphi river valley high school
    (Gambar: Tan Si Hui/CNA)

Dr Maliki ajak masyarakat S’pura tunjukkan sokongan padu susuli kematian pelajar RVHS

SINGAPURA: Sekolah-sekolah dan masyarakat secara amnya saling memberikan kata-kata perangsang bagi menaikkan semangat dan menunjukkan perpaduan dengan menghulurkan sokongan dan membantu menenangkan satu sama lain menyusuli insiden tragis di Sekolah Tinggi River Valley baru-baru ini.

Salah satu daripadanya adalah surat terbuka yang ditulis sendiri oleh Pengetua Institusi St Joseph (SJI), Paderi Adrian untuk seluruh masyarakat sekolahnya.

Menteri Kedua Pendidikan Dr Mohamad Maliki Osman, yang berkongsi surat itu di laman Facebooknya hari ini (21 Jul), berkata beliau sangat tersentuh dengan iringan doa Paderi Adrian yang "meniup semangat dan menenangkan hati" itu.

Dalam surat tersebut, Paderi Adrian berkata insiden tragis di Sekolah Tinggi River Valley itu "mendukacitakan dan menjejas kita semua". Peristiwa malang itu "mengejutkan dan membuatnya berasa terkesan".

Masyarakat SJI, katanya, turut berduka atas kehilangan yang dialami masyarakat sekolah lain.

Untuk menaikkan semangat masyarakat sekolahnya, Paderi Adrian menekankan tiga perkara:

"Dalam masa sukar ini, saya ingin menyuntik ketenangan, di samping memberikan jaminan dan mengikrarkan janji ini," tulis Paderi Adrian.

Demi menyuntik ketenangan, beliau mengajak masyarakat sekolahnya untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan masyarakat Sekolah Tinggi River Valley. Lebih-lebih lagi untuk menenangkan roh pelajar yang meninggal dunia itu dan bersikap mengambil berat terhadap pelajar yang sayangnya sudah mengguris hati ramai orang dan keluarga mereka.

"Marilah kita memanjatkan doa: Di mana ada rasa terluka, semoga dimaafkan. Di mana ada kesakitan, semoga disembuhkan, Di mana ada kehilangan, semoga digantikan dengan yang baru. Di mana ada rasa putus asa, jangan berhenti menaruh harapan. Di mana ada kegelapan, pastikan ia disinari cahaya. Di mana ada kesedihan, tenangkanlah hati mereka," bunyi doa Paderi Adrian.

Beliau juga memberi jaminan kepada para pelajar yang mungkin berasa resah tentang keselamatan dan kesejahteraan mereka di sekolah.

"Ia sesuatu yang semula jadi untuk berasa sebegitu. Bersama para guru anda, saya ingin memberi jaminan bahawa keselamatan dan kesejahteraan anda menjadi keutamaan kami di SJI. Kami akan sentiasa menjaga anda dan menyokong anda kerana kami SJI akan terus menjadi ruang selamat untuk semua," tambah beliau.

Dengan perpaduan yang wujud dalam masyarakat SJI, Paderi Adrian berkata ia "akan memberikan kita semua keyakinan bahawa kita akan selamat".

"Kami mahu anda tahu bahawa pihak sekolah sudah menetapkan protokol-protokol keselamatan. Kami akan bekerjasama dengan Pasukan Keselamatan untuk mempertingkatkannya bagi memastikan semua orang selamat di SJI," katanya lagi.

Paderi Adrian juga berjanji bahawa beliau dan para guru akan sentiasa di sisi para pelajar kerana beliau faham kehidupan bersekolah dan sebagai remaja memang mencabar dan boleh membawa tekanan.

"Kami ada di sini jika anda mahu bercakap dengan kami. Para kaunselor juga sentiasa di sisi anda jika anda memerlukan kehadiran seseorang untuk meluahkan perasaan anda.

"Jika anda kenal sesiapa saja yang memerlukan seseorang untuk mendengar luahan, memerlukan tempat mengadu atau memerlukan teman, jangan keberatan untuk berjumpa guru kelas dan HOL (Ketua Peringkat). Janji kami kepada anda semua adalah: Kami sentiasa bersama anda dan di sisi anda dan kami akan pastikan tiada seorang pun di SJI akan dibiarkan keseorangan," tulis beliau.

Dalam catatannya di Facebook, Dr Maliki juga berkata sambutan Hari Keharmonian Kaum tahun ini lebih suram bagi para pelajar dan anggota sekolah menyusuli kejadian tragis itu.

Sekalipun demikian, Dr Maliki melahirkan keyakinan bahawa sokongan yang dihulurkan masyarakat, seperti iringan doa oleh Paderi Adrian dan masyarakat SJI, menunjukkan bahawa "terdapat lebih banyak persamaan daripada perbezaan antara kita, dan akan sentiasa ada lebih banyak perkara yang akan menyatukan kita daripada yang membezakan kita."

Dalam pada itu, Dr Maliki mengajak orang ramai supaya menuliskan kata-kata perangsang untuk menaikkan semangat masyarakat Sekolah Tinggi River Valley yang terjejas.

Ini boleh dilakukan di laman https://padlet.com/rvhs/messages.

"Marilah kita terus berdiri teguh bersama dan menitipkan sokongan kepada mereka yang mengharungi cabaran ini, dan menjadi penyuluh ketenangan kepada mereka yang memerlukan," menurut Dr Maliki. 

- BERITAmediacorp/TQ/tq

Top