Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dr Mahathir dijemput berucap dalam sidang demokrasi aktivis politik

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad "pada prinsipnya" menerima undangan untuk berucap di sidang tentang membina demokrasi di Asia Tenggara pada tahun depan, anjuran bekas rakyat Singapura, yang juga aktivis, Tan Wah Piow.

Anggaran Waktu Membaca:
Dr Mahathir dijemput berucap dalam sidang demokrasi aktivis politik

Encik Tan Wah Piow (kiri) bertemu Dr Mahathir dengan 4 lagi rakyat Singapura dan aktivis politik Hishammudin Rais (kanan) pada 30 Ogos. (Gambar: Tan Wah Piow/ Facebook)

Diterbitkan : 31 Aug 2018 08:30AM Dikemas Kini : 31 Aug 2018 09:28AM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad "pada prinsipnya" menerima undangan untuk berucap di sidang tentang membina demokrasi di Asia Tenggara pada tahun depan, anjuran bekas rakyat Singapura, yang juga aktivis, Tan Wah Piow.

Seorang wakil dari Pejabat Perdana Menteri Malaysia mengesahkan perkara ini selepas satu mesyuarat pada Khamis (30 Ogos) antara Dr Mahathir, Encik Tan dan empat lagi rakyat Singapura "yang bukan dari pertubuhan awam", termasuk ahli sejarah Thum Ping Tjin. Individu lain tidak ingin dinamakan.

Mesyuarat itu dianjurkan dengan bantuan seorang aktivis politik Malaysia, Encik Hishammudin Rais, yang juga hadir dan merupakan sebahagian daripada pertubuhan Tan - Kuasa bagi Pembaharuan Asia Tenggara (Forces for the Renewal of Southeast Asia).

Dr Mahathir memimpin Pakatan Harapan untuk mencapai kemenangan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu, menumpaskan Barisan Nasional.

Beliau diminta menyampaikan ucaptama di sidang yang belum lagi ditetapkan tajuknya. Namun, kehadiran Dr Mahathir tergantung kepada jadualnya, menurut pejabat beliau.

"Tun Mahathir mencerminkan beberapa perkara penting melalui kemenangannya iaitu aspirasi bagi masyarakat lebih bebas," kata Encik Tan kepada media di luar pejabat Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

"Secara peribadi, saya amat berbesar hati dengan adanya ruang terbuka dan demokratik yang dibuka kerajaan Tun Mahathir. Ia menunjukkan jalan bagi ramai yang inginkan demokrasi. Tidak hanya di Singapura tetapi di tempat-tempat lain di Asia Tenggara."

Encik Thum menambah bahawa beliau "menggesa (Dr Mahathir) melobi untuk mempromosikan demokrasi dan kebebasan bersuara di Asia Tenggara" dalam mesyuarat itu.

"Saya merasakan Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk mencerminkan demokrasi di rantau ini," katanya.

Ketika ditanya tentang pandangan pemerintah Singapura mengenai mesyuarat berkenaan, Encik Tan menjawab: "Saya rasa mereka akan sangat prihatin, bukan kerana saya bertemu dengan Dr Mahathir, tetapi kerana beliau bersedia untuk berkongsi pandangannya tentang demokrasi dan meningkatkan pembangunan demokrasi di rantau ini.

"Kini Malaysia menyerlah dan mungkin perhatiannya sudah beralih dari Singapura. Saya rasa ini membuat mereka berasa bimbang. Singapura sudah menjadi masyarakat yang sudah lapuk, kuno, dikawal parti yang berkuasa."

Encik Tan, seorang pemimpin kesatuan pelajar, melarikan diri dari Singapura pada 1976 selepas didapati bersalah dalam satu kes rusuhan.

Pemerintah Singapura menyifatkan Tan sebagai dalang Kospirasi Marxis 1987, di mana 22 orang ditahan kerana dipercayai cuba menggulingkan Pemerintah, dalam satu tindakan keras dikenali sebagai Operasi Spektrum. Kerakyatan Tan dilucutkan pada tahun yang sama.

Encik Thum mendapat perhatian media pada April lalu apabila beliau bertikam lidah dengan Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam selama enam jam tentang pentafsiran alternatif akademik tentang insiden dalam sejarah seperti Operation Coldstore dalam perbincangan awam oleh Jawatankuasa Pilihan bagi Kepalsuan Online yang Disengajakan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan