Images
  • scwo1
    Dr Faishal Ibrahim di Dialog PraBelanjawan  bagi Siri Wawasan SCWO pada 9 Jan. (Gambar: BERITAmediacorp)

Dr Faishal: Pemerintah komited perkasa wanita, beri peluang capai potensi penuh

SINGAPURA: Pemerintah komited untuk terus memperkasa kaum wanita dan memberi mereka lebih banyak peluang dan ruang untuk mencapai potensi sepenuhnya di tempat kerja, masyarakat dan di rumah.

Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pembangunan Keluarga (MSF) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata demikian dalam sesi Dialog PraBelanjawan Majlis Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO), bersama Menteri Negara Kanan Kewangan Indranee Rajah.

WADAH WANITA BERDIALOG DENGAN PEMERINTAH

Isu ibu bapa yang menua, penjagaan kanak-kanak dan kelonggaran waktu kerja menjadi tumpuan utama perbincangan para pemimpin pertubuhan-pertubuhan wanita dalam sesi Dialog PraBelanjawan semalam (9 Jan).


Sesi di bawah Siri Wawasan SCWO itu disokong MSF dan bertindak sebagai wadah bagi golongan wanita untuk memberi maklum balas serta berdialog secara aktif dengan pemerintah.

Dr Faishal mengulas: "Saya rasa gembira kerana apabila mereka mengutarakan isu-isu ini, ia dapat keprihatinan pemerintah dan pemerintah mahu menyokong mereka dan memberikan lebih banyak peluang dan ruang bagi wanita untuk membangun di Singapura."

KERJASAMA PENTING BAGI PEMBANGUNAN WANITA

Tambah beliau, dengan wanita membentuk hampir 52 peratus daripada siswazah di Singapura pada 2017, adalah penting untuk membantu golongan itu mencapai potensi mereka sepenuhnya.

Lantaran itu, kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua pihak penting dalam memperkasa peranan dan sokongan yang dimainkan oleh kaum wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan masyarakat dan negara.

"Keprihatinan mereka tentang bagaimana mereka boleh jalankan tanggungjawab sebagai seorang wanita, pekerja, ibu dan juga menjaga ibu bapa mereka, anak-anak mereka. Jadi ini memerlukan sokongan, bukan sahaja daripada pemerintah tetapi juga daripada masyarakat," jelas Dr Faishal.

Dialog tersebut memberi tumpuan kepada isu-isu di bawah Belanjawan 2019 seperti sokongan bagi keluarga serta penuaan dan kesihatan.

Kenyataan Belanjawan 2019 akan disampaikan di Parlimen oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada 18 Februari ini. 

- BERITAmediacorp/tq

Top