Images
  • masagos dppms
    (Gambar: DPPMS)

DPPMS main peranan penting kukuhkan peniaga, jana pekerjaan, kata Masagos

SINGAPURA: Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) memainkan peranan penting dalam masyarakat sejak ditubuhkan lebih 60 tahun lalu, menurut Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Dalam catatan Facebooknya pada Isnin (24 Jun), Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, menekankan sejak penubuhannya pada 1956, dewan tersebut banyak memperkukuh keupayaan para peniaga setempat.

Ini sekaligus, menurut Encik Masagos, menjana pekerjaan yang lebih baik untuk rakyat Singapura.

"Perniagaan yang berjaya merangkumi nilai-nilai seperti daya usaha dan berdaya bingkas. Bukan sahaja ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga menyediakan pekerjaan yang baik kepada warga Singapura," kata Encik Masagos.

Catatan itu menyusuli jamuan Hari Raya DPPMS yang diadakan pada Ahad (23 Jun).

Di acara tersebut, beliau bersama Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad dilantik sebagai penasihat kehormat DPPMS bagi penggal 2019 hingga 2021.

10 PERNIAGAAN DENGAN PENDAPATAN S$100 JUTA SETAHUN

Dalam catatannya hari ini, Encik Masagos memuji DPPMS kerana berjaya berkembang dari 15 anggota semasa ditubuhkan kepada hampir 800 anggota yang mewakili pelbagai sektor hari ini.

Sambil melahirkan keyakinan beliau, Encik Masagos turut menggesa DPPMS supaya menghasilkan sekurang-kurangnya 10 perniagaan bersaiz kecil atau sederhana (SME) Melayu/Islam dengan pendapatan tahunan S$100 juta, dalam tempoh sedekad mendatang.

Encik Masagos memberi jaminan, beliau dan Encik Zaqy akan bekerjasama dengan para peniaga dan DPPMS untuk mencapai matlamat tersebut.

Menyentuh tentang persekitaran perniagaan yang mencabar hari ini akibat ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China serta ketidaktentuan lain, Encik Masagos menegaskan peri pentingnya daya tahan dalam kalangan para peniaga agar kekal mampan.

"Daya tahan memerlukan keupayaan yang utuh dan pemikiran yang sedia menyahut perubahan serta peluang-peluang baru," tulis beliau.

"Daya tahan juga bermakna apabila menghadapi cabaran, kita berubah dan kekal relevan agar dapat lebih berdaya saing."

- BERITAmediacorp/tq

Top