Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPP mahu bekas Pengerusi Masjid Darussalam dipenjara hingga 3 tahun

Pihak Pendakwa Raya hari ini (15 Apr) meminta agar bekas pengerusi Masjid Darussalam Abdul Mutalif Hashim, yang menggelapkan wang masjid, dikenakan hukuman penjara antara 30 dengan 36 bulan.

Anggaran Waktu Membaca:
DPP mahu bekas Pengerusi Masjid Darussalam dipenjara hingga 3 tahun

Bekas Pengerusi Masjid Darussalam, Abdul Mutalif Hashim.

SINGAPURA: Pihak Pendakwa Raya hari ini (15 Apr) meminta agar bekas pengerusi Masjid Darussalam Abdul Mutalif Hashim, yang menggelapkan wang masjid, dikenakan hukuman penjara antara 30 dengan 36 bulan.

Abdul Mutalif sebelum ini sudahpun mengaku bersalah atas enam pertuduhan menyalahgunakan wang masjid sebanyak lebih S$306,000.

Pihak peguam bela bagaimanapun meminta agar hukuman penjara kurang daripada 12 bulan dikenakan.

HUKUMAN DITANGGUH MINGGU DEPAN

Abdul Mutalif hari ini sepatutnya dijatuhi hukuman di Mahkamah Negara.

Namun, mahkamah memutuskan untuk menangguhkannya ke Rabu depan (24 Apr), untuk menimbangkan permohonan-permohonan yang dibuat oleh kedua-dua Timbalan Pendakwa Raya dan Penguam Bela siang tadi.

Dalam permohonan meminta agar hukuman kurang 12 bulan penjara dikenakan, peguam bela, Encik Satwant Singh, berkata anak guamnya itu amat menyesali perbuatannya dan insiden tersebut menjejas isterinya dan juga dirinya.

ALASAN HUKUMAN ABDUL MUTALIF PATUT DIRINGANKAN

Encik Singh juga menyenaraikan beberapa hujah agar hukuman ke atas Abdul Mutalif diringankan.

Antaranya, beliau meminta Hakim Daerah Ong Chin Rhu mengambil kira kerja-kerja kebajikan yang dilakukan Abdul Mutalif.

Beliau menambah, semasa Abdul Mutalif menjadi pengerusi masjid, dia banyak membantu masyarakat, khususnya yang memerlukan.

Ini termasuk memberi bantuan kewangan menggunakan sebahagian wang yang diambil secara langsung daripada dana masjid.

Abdul Mutalif, 57 tahun, juga pernah menyarankan agar pintu masjid dibuka sepanjang 24 jam agar sesiapa yang memerlukan bantuan boleh datang mendapatkannya pada bila-bila masa.

Ini kerana beliau mendapati ramai penduduk Melayu/Islam yang dibelenggu masalah kewangan namun sulit mendapatkan bantuan memandangkan pejabat pentadbiran masjid lazimnya dibuka pada waktu kerja dan ditutup pada waktu makan tengah hari.

Antara yang dibantunya termasuk keluarga-keluarga gelandangan, pasangan-pasangan yang berdepan dengan masalah rumah tangga, bekas-bekas banduan, para pembantu rumah yang didera majikan dan pekerja-pekerja asing di tapak-tapak binaan.

Malah, beliau juga dikatakan menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang penerimanya.

SEDAR PERLU DAPATKAN KELULUSAN MUIS, TAPI...

Menurut Encik Singh lagi, dalam usaha Abdul Mutalif untuk menghulurkan bantuan, dia menambah 4 kotak "Tabung Kebajikan" di Masjid Darussalam.

Wang yang diperolehi daripada tabung-tabung tersebut diketepikan dan tidak disalurkan ke dalam akaun masjid.

Petikan gambar Masjid Darussalam, di Commonwealth Avenue West. (Gambar: Google Street View)

Encik Singh berkata, Abdul Mutalif menyedari bahawa dia perlu mendapatkan kelulusan MUIS setiap kali mahu menggunakan dana masjid.

Namun, dia berasa proses itu mengambil masa yang lama dan dia tidak sanggup menolak permohonan orang-orang yang datang ke masjid meminta bantuan.

PEGUAM BELA: DIANGGAP "WIRA DI MATA RAMAI ORANG"

Sekalipun demikian, Encik Singh mendakwa Abdul Mutalif pernah mengembalikan wang sebanyak $130,848 untuk digunakan bagi kerja-kerja ubah elok tandas masjid.

Dia juga dikatakan memulakan inisiatif Wakaf Quran untuk anak-anak yatim di Acheh.

Sikap Abdul Mutalif itu membuatkan dirinya dianggap sebagai "wira di mata ramai orang", ujar Encik Singh.

Maka itu, Encik Singh meminta agar hakim bersifat ihsan terhadap Abdul Mutalif dalam menjatuhkan hukuman kelak.

DPP: ADA PROSEDUR BETUL GUNA WANG MASJID BANTU MASYARAKAT

Dalam hujahnya pula yang meminta hukuman penjara sehingga tiga tahun dikenakan, DPP Kenneth Chin menegaskan bahawa "keperibadian baik" Abdul Mutalif tidak seharusnya terlalu dipertimbangkan.

Ini kerana dia diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab menguruskan derma masyarakat.

DPP Chin juga menekankan bahawa sifat murah hati Abdul Mutalif itu dilakukan menerusi wang yang disalahgunakan daripada masjid.

Beliau turut menegaskan bahawa terdapat prosedur yang betul untuk membantu mereka yang memerlukan menggunakan wang masjid.

Secara keseluruhannya, Abdul Mutalif dikatakan menggelapkan hampir $372,000 wang yang didermakan kepada masjid dalam tempoh tujuh tahun.

Namun jumlah dikenakan hukuman  adalah $306,629. Lagi lapan pertuduhan diambil dalam pertimbangan.

Petikan gambar Masjid Darussalam, di Commonwealth Avenue West. (Gambar: Google Street View)

WANG DIGUNA SESUKA HATI

Wang tersebut digunakan secara sesuka hati tanpa sebarang pertanggungjawaban, tegas DPP Chin.

Semasa membacakan pernyataan di mahkamah dalam sesi sebelum ini, DPP Chin mengatakan Abdul Mutalif turut menggunakan wang tersebut bagi perbelanjaan peribadi dan keluarga seperti bil kad kredit, melancong dan bil perubatan.

Lantaran itu, pihak pendakwa raya meminta agar Hakim Ong menjatuhkan hukuman penjara antara 30 hingga 36 bulan supaya ia menjadi mesej jelas - bahawa mereka yang diberi kepercayaan mengendalikan wang derma masyarakat perlu sentiasa bersikap jujur.

Hukuman tersebut juga menurutnya akan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap sektor amal. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan