Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Teo bertemu Putera Mahkota, rakyat S’pura dalam lawatan ke UAE

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean menggulung lawatan rasmi dua hari ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) semalam (12 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Teo bertemu Putera Mahkota, rakyat S’pura dalam lawatan ke UAE

Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Mohammed Bin Zayed Al Nahyan pada Isnin (11 Dis). (Gambar: Abu Dhabi Prince Court)

Diterbitkan : 13 Dec 2017 08:23AM Dikemas Kini : 13 Dec 2017 08:28AM

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean menggulung lawatan rasmi dua hari ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) semalam (12 Dis).

Dalam kenyataannya, Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) menyatakan bahawa DPM Teo diiringi oleh Setiausaha Parlimen Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin dalam lawatan itu yang bermula Ahad lalu (10 Dis) atas undangan Timbalan Perdana Menteri UAE merangkap Menteri Dalam Negeri Saif Bin Zayed Al Nahyan.

Isnin lalu (11 Dis), DPM Teo yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Mohammed Bin Zayed Al Nahyan.

Mereka “mengesahkan hubungan baik antara Singapura dengan UAE dan mengalu-alukan usaha untuk mengembangkan lagi kerjasama dan mengeratkan hubungan dua hala”, menurut MFA.

Menurut MFA lagi, DPM Teo juga menyampaikan undangan Presiden Halimah Yacob kepada Putera Mahkota Mohammed untuk mengadakan lawatan ke Singapura.

Encik Saif turut meraikan DPM Teo dalam satu majlis jamuan tengah hari Ahad lalu di mana mereka bertukar-tukar pandangan tentang isu keselamatan serantau dan bersetuju bahawa kedua-dua negara boleh memperkukuhkan lagi kerjasama dalam bidang keselamatan dan pertahanan awam, menurut MFA.

Dalam satu catatan Facebook Isnin lalu, DPM Teo berkata bahawa Encik Saif amat mengenali Singapura dan menyifatkan negara ini sebagai “rakan lama yang sudah dikenali sejak sekian lama”.

Semasa lawatannya itu, DPM Teo juga mengadakan pertemuan dengan Penasihat Keselamatan Negara Tahnoun Bin Zayed Al Nahyan, Menteri Toleransi Nahyan Bin Mubarak Al Nahyan dan Pengerusi Penguasa Ehwal Eksekutif Pemerintah Abu Dhabi Khaldoon Khalifa Al Mubarak.

Mereka membincangkan tentang perkembangan serantau dan mengesahkan lagi komitmen Singapura dan UAE dalam memupuk sikap bertolak ansur, kesederhanaan dan fahaman silang agama serta membanteras penyebaran fahaman pelampau, menurut MFA dalam kenyataannya itu.

DPM Teo turut melakukan kunjungan ke Akademi Pertahanan Awam UAE yang ditubuhkan pada 2011 dengan bantuan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan bertemu dengan sekitar 200 rakyat Singapura dalam satu majlis yang dianjurkan oleh Kedutaan Singapura di Abu Dhabi.

DPM Teo dan delegasinya akan pulang ke Singapura hari ini (13 Dis), menurut MFA.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan