Images
  • hsk

DPM Heng Swee Keat zahirkan penghargaan kepada masyarakat Melayu/Islam S'pura lakukan penyesuaian dek COVID-19

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat merakamkan penghargaannya buat masyarakat Islam di sini atas kerjasama mereka membuat penyesuaian yang sukar bagi melawan COVID-19.

Ucapan terima kasih itu dizahirkan Encik Heng dalam satu majlis berbuka puasa beramai-ramai secara online hari ini (21 Mei)

Jika tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat hadir berbuka puasa di Wisma Geylang Serai bersama masyarakat Islam, tahun ini tidak terkecuali baginya walaupun di wadah yang berbeza.

Encik Heng memberitahu beliau gembira melihat semangat kebersamaan yang tetap teguh meskipun masyarakat Islam di sini perlu membuat penyesuaian dalam amalan keagamaan dan sosial.

"Hari Raya adalah sambutan penting dan bermakna untuk masyarakat Islam. Walaupun kita tidak dapat berjumpa keluarga tersayang tahun ini, gunakanlah wadah teknologi untuk terus kuatkan ikatan keluarga.

"Saya bangga masyarakat Melayu/Islam telah bersama dengan pemerintah dalam usaha kita melawan COVID-19," kata Encik Heng.

Acara anjuran Wisma Geylang Serai dan disokong oleh MUIS itu turut disertai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli dan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman.

Meskipun tidak dapat berjabat tangan atau bertemu muka secara fizikal, kemesraan tetap dirasakan dalam kalangan peserta dari pelbagai latar belakang, kaum dan agama.

Inisiatif di bawah #SGUnited itu turut mengajak masyarakat Melayu/Islam tempatan untuk sama-sama membuktikan bahawa mereka masih boleh meraikan Ramadan dan Syawal sebaik mungkin meskipun dalam keadaan COVID-19 sekarang. 

- BERITAmediacorp/IZ/ha

Top