Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng Swee Keat undurkan diri sebagai ketua pasukan 4G PAP, PM Lee terima keputusan

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan mengundurkan diri sebagai ketua pasukan generasi keempat Parti Tindakan Rakyat (PAP), umumnya pada Khamis (8 April).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Apr 2021 08:10PM Dikemas Kini : 09 Apr 2021 08:48PM

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan mengundurkan diri sebagai ketua pasukan generasi keempat Parti Tindakan Rakyat (PAP), umumnya pada Khamis (8 April).

Beliau menyebut cabaran jangka panjang daripada COVID-19 serta cabaran berat sebagai Perdana Menteri sebagai sebab di sebalik keputusannya.

"Tahun ini, saya berusia 60 tahun," kata Encik Heng, sambil menambah bahawa usianya akan mencecah hampir pertengahan 60-an tahun apabila krisis COVID-19 berlalu.

"Ketika saya juga melihat usia tiga Perdana Menteri pertama kita semasa mereka mula menyandang jawatan itu, saya akan mempunyai masa persiapan yang terlalu singkat sekiranya saya menjadi Perdana Menteri seterusnya nanti," tambah beliau pada sidang media untuk mengumumkan keputusan beliau.

"Kita memerlukan pemimpin yang bukan hanya akan membangunkan semula Singapura pasca COVID-19, tetapi juga memimpin fasa seterusnya usaha membangunkan negara."

Encik Heng berkata: "Setelah membuat pertimbangan teliti dan berbincang dengan keluarga saya, saya memutuskan untuk melepaskan kedudukan sebagai ketua pasukan 4G (generasi keempat), agar pemimpin yang lebih muda yang mempunyai masa yang lebih panjang untuk membuat persiapan dapat mengambil alih peranan itu."

Menurutnya, bersama dengan PM Lee dan menteri kanan lain, beliau akan terus membimbing menteri yang lebih muda dan mengenal pasti pemimpin lain dari kalangan mereka, ujarnya.

Encik Heng akan terus menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi.

Bagaimanapun, beliau akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Kewangan dalam rombakan Kabinet akan datang, yang akan berlangsung dalam masa sekitar dua minggu lagi.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau faham dan menghormati keputusan Encik Heng. Kedua-duanya sudah berbincang dan bersetuju bahawa Encik Heng akan melepaskan portfolio kewangannya.

"Kami bersetuju bahawa Belanjawan 2021 adalah belanjawan yang penting, bukan belanjawan darurat seperti lima belanjawan pada 2020. Tetapi belanjawan untuk membawa Singapura mengharungi krisis COVID-19," kata Encik Lee.

"Saya memberitahunya bahawa adalah baik jika beliau memastikan Belanjawan 2021 berjalan licin dahulu dan hanya selepas itu akan melepaskan portfolio MOF untuk memberi tumpuan pada tanggungjawab yang lebih luas. Akan ada perubahan di kementerian lain, dan saya merancang untuk mengumumkan rombakan Kabinet dalam sekitar dua minggu nanti."

Encik Lee juga menarik perhatian terhadap "banyaknya sumbangan" Encik Heng selama menjadi Menteri Pendidikan dan sebagai Menteri Kewangan, terutama semasa pandemik COVID-19.

"Ketika saya meminta anda menyandang jawatan menteri kewangan pada tahun 2015, kami berdua tahu bahawa ia adalah tugas yang sukar. Bahkan sebelum COVID-19 melanda, Singapura sudah mencapai persimpangan yang mana kami harus mengatasi cabaran fiskal sambil mengukuhkan jaringan keselamatan sosial, serta mengubah ekonomi kita dalam menghadapi gangguan global seismik," tulis Encik Lee dalam surat responsnya.

"Saya mengucapkan terima kasih atas keputusan anda yang tidak mementingkan diri untuk memberi laluan. Tindakan anda sesuai dengan semangat perkhidmatan awam dan rasa tanggungjawab yang mendorong anda untuk tampil ke depan ketika saya meminta anda bertanding dalam pilihan raya pada 2011."

"Setelah bekerja bersama PM, ESM (Menteri Kanan Emeritus) dan MM (Menteri Mentor), saya tahu bahawa memikul jawatan tinggi ini membuat tuntutan luar biasa kepada pemegang jawatan," kata Encik Heng.

"Dalam dunia pasca COVID-19 yang sangat berbeza, tuntutannya akan menjadi lebih tepat dan mendesak. Walaupun saya dalam keadaan sihat hari ini, demi kepentingan negara, perlu seseorang yang lebih muda untuk menangani cabaran besar di masa hadapan. "

Dalam respons mereka terhadap keputusan Encik Heng, pasukan 4G PAP berkata mereka sudah meminta Encik Lee agar terus menjadi Perdana Menteri sehingga pengganti baru dipilih oleh pasukan itu dan siap untuk mengambil alih.

"Keutamaan kami ialah untuk menangani cabaran mendesak yang dihadapi Singapura sekarang dan memastikan Singapura bangkit lebih kuat daripada krisis ini. Dalam keadaan seperti ini, pasukan 4G akan memerlukan lebih banyak masa untuk memilih ketua lain dari kalangan kami," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

"Peristiwa yang tidak dijangka ini adalah satu anjakan ke belakang terhadap rancangan penggantian pucuk pimpinan kami. Kami sedar bahawa rakyat Singapura prihatin akan perkembangan ini. Kami meminta sokongan dan pemahaman anda, sedang kami memilih pemimpin lain bagi pasukan kami."

Menjawab soalan mengenai bilakah pemimpin pasukan 4G berikutnya akan dipilih, Encik Lee berkata penggantian kepimpinan adalah "masalah yang sangat, sangat penting dan mendesak".

"Memilih pemimpin bukan hanya memberi mata markah kepada individu dan mengatakan siapa yang akan menjadi pilihan terbaik. Ia juga mengenai membina pasukan dan hubungan dalam dalam kalangan anggota pasukan."

"Saya percaya ia proses ini akan mengambil masa lebih lama daripada setakat beberapa bulan sahaja tetapi ia tidak harus mengambil lebih daripada dua tahun", kata Encik Lee.

Perdana Menteri berkata beliau berharap akan ada keputusan jelas sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.

"Saya tidak berhasrat untuk terus dengan jawatan saya lebih lama daripada yang diperlukan,"ujar beliau.

Pada 2012, PM Lee berkata beliau merancang untuk melepaskan jawatannya apabila berusia 70 tahun pada 2022.

Pemimpin 4G, atau pemegang jawatan politik yang lebih muda, memilih Encik Heng sebagai ketua mereka menjelang awal 2018.

Encik Heng dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada bulan Mei 2019. Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi pada rombakan Kabinet selepas Pilihan Raya Umum 2020.

Ketika itu, Menteri Luar Vivian Balakrishnan berkata pasukan 4G PAP "sebulat suara" menyokong kepimpinan Encik Heng.

Di tengah-tengah krisis COVID-19, Encik Lee pada Julai tahun lalu berkata beliau akan memastikan Singapura mengharungi krisis itu sebelum menyerahkan tampuk pemerintahan kepada generasi pemimpin berikutnya.  

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan