Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng Swee Keat undurkan diri sebagai ketua 4G

PM Lee menerima keputusan Encik Heng.

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Heng Swee Keat undurkan diri sebagai ketua 4G

DPM Heng Swee Keat di sidang media pada 8 Apr 2021. (Petikan gambar: MCI)

Diterbitkan : 08 Apr 2021 08:06PM Dikemas Kini : 08 Apr 2021 08:08PM

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata beliau akan mengundurkan diri sebagai ketua pasukan 4G dan memberi laluan kepada seseorang lebih muda yang mempunyai "masa persiapan lebih panjang" untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Beliau memaklumkan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong tentang keputusannya itu menerusi utusan surat hari ini (8 Apr), sambil menyatakan keputusan itu dibuat "selepas membuat pertimbangan dan perbincangan teliti" bersama keluarganya.

PM Lee menerima keputusan Encik Heng.

Encik Heng mencapai usia 60 tahun pada bulan November.

Beliau bersetuju untuk terus menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi. Namun akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan semasa rombakan Kabinet yang akan diadakan dalam tempoh dua minggu lagi, kata PM Lee.

Encik Heng dilantik sebagai penolong pertama setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada bulan November 2018, iaitu jawatan yang menandakan bahawa beliau adalah calon yang disebut-sebut sebagai pengganti Perdana Menteri seterusnya.

"Saya memutuskan untuk mengundurkan diri sebagai ketua pasukan 4G, supaya seorang pemimpin lebih muda yang akan mempunyai masa persiapan lebih panjang boleh mengambil alih," tulis beliau kepada PM Lee.

"Meskipun kesihatan saya baik sekarang, (keputusan) ini adalah demi kepentingan negara, bagi seseorang yang lebih muda menangani cabaran-cabaran besar pada masa akan datang."

Merujuk kepada pandemik COVID-19 yang berlarutan, Encik Heng berkata usianya akan mencecah pertengahan 60-an tahun apabila krisis itu berakhir.

"Usia 60-an tahun adalah tempoh yang masih produktif dalam kehidupan. Tetapi apabila saya melihat usia tiga Perdana Menteri pertama kita yang memikul tanggungjawab itu, saya akan mempunyai masa persiapan terlalu singkat untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya nanti," tambah beliau.

"Kita memerlukan seorang pemimpin yang bukan hanya akan membangunkan semula Singapura pasca COVID-19 tetapi juga memimpin fasa seterusnya dalam usaha membangunkan negara."

PM Lee menjadi perdana menteri pada tahun 2004 ketika beliau berusia 52 tahun, manakala mantan Perdana Menteri Goh Chok Tong menyandang jawatan itu pada tahun 1990 ketika berusia 49 tahun.

Perdana menteri pertama Singapura mendiang Encik Lee Kuan Yew pula berusia 35 tahun semasa menyandang jawatan itu

Encik Heng berkata Perdana Menteri seterusnya perlu mempunyai "tempoh persiapan yang cukup panjang" untuk menguasai segala tuntutan bagi memimpin Singapura, melakar dan mengendalikan strategi-strategi jangka panjang negara selain memenangi keyakinan dan sokongan rakyat Singapura untuk membangunkan masa depan bersama.

"Tempoh suai kenal jangka panjang bagi pemerintah PAP yang seterusnya dan juga sokongan rakyat kita sangat penting bagi kejayaan Singapura," menurut Encik Heng lagi.

Setelah bekerjasama dengan PM Lee dan dua mantan Perdana Menteri, Encik Heng berkata beliau tahu bahawa "tugas itu mengenakan tuntutan-tuntutan yang luar biasa ke atas pemegang jawatan".

"Dalam dunia pasca COVID-19 yang begitu berbeza, tuntutannya akan lebih mencabar," tambah beliau.

Encik Heng berkata keutamaan pasukan 4G adalah untuk menangani krisis sekarang ini dan memastikan rakyat Singapura selamat. Beliau mengucapkan terima kasih kepada PM Lee atas komitmennya untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga krisis ini berakhir.

Keputusan memilih ketua seterusnya terletak di tangan pasukan 4G, kata Encik Heng, sambil menambah bahawa beliau bersedia memberikan sokongan kepada individu yang dipilih dan menyatakan bahawa pandemik ini adalah "titik perubahan sebenar".

Semasa di sidang media tadi, Encik Heng berkata beliau mula memikirkan tentang isu penggantian kepemimpinan semasa beliau dilantik menjadi ketua 4G pada 2018.

"Saya tidak mahu menerima tugas yang tidak dapat saya lakukan dengan baik," kata beliau.

"Anda yang pernah bekerja dengan saya tahu, saya seorang yang kuat kerja dan saya meletakkan sepenuh jiwa raga saya kepada apa yang saya lakukan. Oleh itu, saya sudah memikirkan sama ada saya orang yang terbaik untuk melakukannya?"

Encik Heng juga berkata prestasi pasukannya dalam Pilihan Raya Umum 2020, di mana beliau memimpin pasukan PAP di GRC East Coast, bukan sebab beliau mengundurkan diri sebagai ketua pasukan 4G.

PAP berdepan persaingan menentang Parti Pekerja (WP), dengan memenangi 53.41 peratus undi.

"Saya sudah menjadi AP di Tampines selama 10 tahun dan bekerjasama baik dengan pasukan saya dan sudah menjalin hubungan baik dengan penduduk," kata Encik Heng.

"Namun, apabila East Coast memerlukan sokongan, saya memutuskan untuk pergi ke sana. Ia kawasan yang sangat baru bagi saya dan saya melakukan yang terbaik bersama pasukan saya."

Dalam suratnya kepada PM Lee, Encik Heng melahirkan penghargaan terhadap sokongan rakyat Singapura dan membuat keputusan "demi kepentingan Singapura dan rakyat Singapura".

"Saya akan terus melakukan yang terbaik, untuk menyokong anda, rakan-rakan Kabinet dan parti, supaya kita boleh terus membaiki kehidupan rakyat Singapura dan bangkit lebih teguh bersama pasca COVID-19." 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan