Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng Swee Keat puji Wisma Geylang Serai sebagai pemangkin perpaduan dan inklusif

Walaupun Wisma Geylang Serai atau WGS, menjulang dan meraikan warisan dan budaya Melayu, ia juga menjadi sebuah ruang yang bersemangat dan bertenaga serta mengalu-alukan semua warga Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Walaupun Wisma Geylang Serai atau WGS, menjulang dan meraikan warisan dan budaya Melayu, ia juga menjadi sebuah ruang yang bersemangat dan bertenaga serta mengalu-alukan semua warga Singapura.

Demikian pujian yang dihamburkan kepada WGS oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Beliau berucap demikian semasa hadir sebagai tetamu terhormat bagi meraikan ulang tahun pertama WGS hari ini (18 Jan).

WARISAN 180 TAHUN GEYLANG SERAI

Memang, diam tak diam, WGS yang kini menjadi satu mercu tanda penting di Geylang Serai, sudah setahun dirasmikan.

DPM Heng menarik perhatian betapa kekayaan warisan Geylang Serai sebagai antara petempatan Melayu tertua, sebenarnya bermula 180 tahun lalu - iaitu sekitar tahun 1840. Ia ketika itu dihuni oleh Orang Laut.

Kawasan Geylang Serai kemudian melalui evolusi. Daripada petempatan Orang Laut ia menjadi kawasan ladang serai. Ia selepas itu berubah menjadi ladang kelapa dan kemudiannya ladang ubi. Akhirnya, sebagaimana kini, ia berubah menjadi estet perumahan moden.

Bagaimanapun kata Encik Heng, "walaupun wajah Geylang Serai berubah", kawasan itu "tetap mengekalkan hubungannya yang kuat kepada akar Melayu".

WGS KINI TUMPUAN PENGUNJUNG PELBAGAI BANGSA, AGAMA

Akar Melayu itu terus mencengkam di kawasan Geylang apabila projek Perkampungan Melayu Geylang Serai dibangunkan dan kemudian dibangun semula menjadi Wisma Geylang Serai (WGS).

Malah kini WGS bukan hanya merakamkan cerita-cerita kampung, tetapi juga merakamkan evolusi identiti Melayu Singapura.

DPM Heng turut mengambil peluang menghidupkan semangat kemelayuan di WGS itu dengan menyampaikan sebaris dua ucapannya dalam Bahasa Melayu.

"Syabas kepada Dr Maliki dan pasukannya yang telah bekerja keras untuk membangunkan WGS sebagai ikon bagi masyarakat Melayu.

"Kini, WGS sudah menjadi tempat tumpuan bagi rakyat Singapura daripada pelbagai bangsa dan agama. Saya berharap WGS akan terus menjadi pemangkin perpaduan dan sikap inklusif di kalangan rakyat kita. Bak kata pepatah, muafakat membawa berkat," kata DPM Heng dalam Bahasa Melayu.

SEMUA PIHAK BOLEH LAKUKAN PERUBAHAN

Mengulas mengenai kejayaan pusat sivik Melayu WGS itu sejauh ini, Encik Heng menyebut bahawa gerakan M³ dan KURNIA@WGS yang merangkumi 11 badan Melayu/Islam, kini sudah membantu lebih 3,500 orang pada tahun pertama ia beroperasi.

Usaha M³ dan KURNIA@WGS itu kata Encik Heng, mencerminkan kuasa gotong-royong antara Pemerintah, masyarakat Melayu dan individu.

Ini jugalah semangat gerakan Singapore Together, tekan Encik Heng, bahawa setiap pihak boleh melakukan perubahan untuk saling membantu dan membina masa depan Singapura.

Dengan semangat itu juga DPM Heng menggesa lebih ramai orang supaya terlibat sama dan menyumbang idea untuk menjadikan kawasan lubuk Melayu ini sebagai sebuah Jalur Budaya Geylang Serai.

"Saya harap anda akan berkongsi pandangan dan terlibat sama kerana meskipun pemerintah boleh memperuntukkan ruang-ruang fizikal dan membina struktur seperti WGS, andalah - orang ramai dan masyarakat - nadi sebenar Geylang Serai.

"Oleh itu, teruskan membayangkan semula ruang-ruang harian kita, bersatu menyertai kegiatan dan paling penting sekali, sedang kita melakukan semua itu, cipta kenangan dan pengalaman bersama yang mengukuhkan hubungan dengan satu sama lain," kata DPM Heng, melahirkan harapannya.

2 KUMPULAN BUDAYA BERPINDAH KE WGS

Sementara itu, mengikut jejak Orkestra Melayu Singapura (OMS), lagi dua badan kebudayaan Melayu yang lain juga nampaknya sudah 'berpindah' dan menjadi penyewa baru di Wisma Geylang Serai.

Ia terdiri daripada syarikat seni tidak mengaut untung Kamal Arts Ltd dan Sri Warisan, iaitu syarikat seni persembahan milik tokoh seni tarian Melayu Cik Som Said.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Semasa kunjungannya itu Encik Heng turut merasmikan Kebun Kami@WGS yang terletak di tingkat empat.

Kebun tersebut memainkan peranan penting dalam usaha kemampanan eko. Tumbuh-tumbuhan dan sayur-mayur yang ditanam juga akan digunakan bagi program-program yang dianjurkan Dapur Kulinari di WGS.

Kebun Kami juga menjadi tempat bagi pendampingan masyarakat menerusi hortikultur dan platform mengukuhkan jalinan bagi masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan