Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng lancar jejak warisan 'Kampong Bencoolen'; tekankan keharmonian usaha berterusan

Mengekalkan keharmonian dalam masyarakat berbilang budaya seperti Singapura adalah sesuatu usaha yang berterusan dan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata Singapura mesti terus membangunkan aspek berbilang budayanya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mengekalkan keharmonian dalam masyarakat berbilang budaya seperti Singapura adalah sesuatu usaha yang berterusan dan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata Singapura mesti terus membangunkan aspek berbilang budayanya.

Ini lebih-lebih lagi memandangkan banyak konflik di merata dunia dikaitkan dengan kaum, bahasa atau agama.

Singapura sudahpun membuat banyak kemajuan dari segi keharmonian kaum dan agama sepanjang beberapa dekad lalu. Namun, DPM Heng berkata lebih banyak lagi perlu dilakukan.

Maka itu, beliau menggesa rakyat Singapura supaya tidak setakat mempunyai sifat toleransi terhadap kaum dan agama yang berbeza. Sebaliknya, masyarakat-masyarakat yang berbeza perlu menunjukkan rasa hormat dan memahami antara satu sama lain.

DPM Heng berkata demikian di sesi dialog selepas satu jejak warisan yang meninjau lapan tempat ibadah.

"Hakikat bahawa rakyat kita, nenek moyang kita datang dari merata dunia, kita mempunyai kepelbagaian agama, kaum, budaya. Kita ada warga baru, warga lama, Penduduk Tetap dan sebagainya.

"Ia sepatutnya menjadi satu kelebihan. Kita harus berfikir lebih dalam untuk melihat bagaimana kita boleh terus menjadikan kepelbagaian kita sebagai satu kekuatan dan merubah sesuatu yang kecil kepada suatu kekuatan," kata Encik Heng.

Dialog dan jejak warisan silang agama yang dilancarkan DPM Heng itu merupakan sebahagian daripada satu program baru dipanggil 'Faithful Footprints' dan ia tertumpu kepada kawasan yang pernah dipanggil Kampong Bencoolen.

KAMPONG BENCOOLEN LAMBANG KEHARMONIAN MASYARAKAT MAJMUK S'PURA

Tapak tersebut adalah satu contoh lambang keharmonian berbilang kaum dan agama sepanjang hampir 200 tahun lalu.

Mungkin ramai warga tempatan yang sudah lupa atau mungkin tidak tahu tentang kewujudan Kampong Bencoolen. Hakikatnya, kawasan Bencoolen begitu kaya dengan sejarah hubungan antara kaum dengan agama yang mesra terjalin di Singapura.

Misalnya, dalam kawasan sekecil 1.7km di Bencoolen, terdapat lapan rumah ibadah meliputi agama-agama berbeza. Ini termasuk Kuil Sri Krishnan yang berusia hampir 150 tahun.

Ia terletak sebelah menyebelah dengan kuil terkenal dalam kalangan masyarakat Cina iaitu Kuil Kwan Im Thong Hood Cho yang dibina pada tahun 1884.

Kemudian, hanya beberapa minit berjalan dari situ, wujud pula beberapa gereja berbeza seperti gereja Katolik, gereja Anglican, gereja Metodis dan gereja Armenia - yang kesemuanya berusia lebih 150 tahun.

Program Jejak Warisan dipanggil "Faithful Footprints" atau Jejak Beriman itu disempurnakan dengan lawatan ke sebuah saumaah atau sinagog Yahudi yang dibina pada tahun 1878, dan Masjid Bencoolen yang berusia 194 tahun.

KEHARMONIAN BUKAN SATU PERKARA "SEMULA JADI"

Turut disertai Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman, inisiatif tersebut bertujuan mengajak sekitar 60 peserta yang menyertai jejak warisan itu supaya menghargai warisan berharga sedemikian.

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman (berbaju hijau di tengah), menyertai 60 sekitar 60 peserta lain dalam jejak warisan 'Kampong Bencoolen'.

"Kita harus menggalak dan memastikan anak muda kita, rakyat baru Singapura, rakyat muda Singapura tidak mengambil keharmonian kita sebagai satu perkara yang semula jadi kerana ini adalah satu perkara yang harus diambil berat untuk memastikan keharmonian kaum kita ini terus terjamin," tekan Dr Maliki.

Berdasarkan maklum balas para peserta, yang turut datang dari sektor madrasah dan masjid, program itu nampaknya berhasil.

"Saya dapat pelajari bahawa bagaimana masyarakat yang berbilang kaum, berbilang bangsa dan agama, sejak dahulu lagi mereka mementingkan keharmonian kaum dan bagaimana kita dapat bersatu dan kita mengelakkan daripada perbalahan dan sebagainya," ujar Ustaz Muslim Amad, yang merupakan salah seorang peserta.

Lagi 25 lawatan program "Faithful Footprints" bakal dianjurkan. Ia dibawakan oleh Yayasan Temasek dan disokong oleh CDC Tenggara.

Orang ramai yang berminat menyertainya boleh menghubungi penganjurnya iaitu Humanity Matters menerusi footprints [at] humanitymatters.org.sg.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan