Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng dalam pasukan East Coast PAP kerana persaingan dianggap 'penting', kata PM Lee

Parti Tindakan Rakyat (PAP) memindahkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat ke GRC East Coast berdasarkan di mana persaingan 'paling sengit dan penting' boleh dijangkakan", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong kepada para wartawan pada Selasa (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
DPM Heng dalam pasukan East Coast PAP kerana persaingan dianggap 'penting', kata PM Lee

(Gambar: PAP)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 11:35PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 11:49PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) memindahkan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat ke GRC East Coast berdasarkan di mana persaingan 'paling sengit dan penting' boleh dijangkakan", kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong kepada para wartawan pada Selasa (30 Jun).

Encik Lee, yang juga setiausaha agung PAP, ditanya mengapa parti itu membariskan Encik Heng di GRC East Coast dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee pula di GRC West Coast.

"Kami cuba membuat penilaian di mana persaingan sengit, yang dianggap paling penting dan juga di mana percaturan terbaik kami," katanya.

"Ini supaya bagi setiap kawasan undi, kami mempunyai pasukan yang benar-benar dapat ,memenuhi keperluan kawasan undi itu dan akan dapat memberikan khidmat yang baik kepada penduduknya dan dapat berkempen dengan baik.

"Dan saya rasa itulah rasional di sebalik semua penilaian kami, termasuk yang ditanyakan anda."

PAP JANGKA PERSAINGAN SENGIT

Meskipun Encik Lee akur bahawa semasa berlaku krisis mungkin ramai orang "tergesa-gesa mencari perlindungan", beliau berkata PAP tetap menjangkakan persaingan sengit bagi pilihan raya kali ini.

"Kami juga tahu bahawa ini bukan masa yang paling menggembirakan. Orang ramai merasakan keperitan dan ketidakpastian disebabkan oleh krisis ini yang membawa kesan yang sangat buruk," kata PM Lee.

"Pihak pembangkang sedang mengambil kesempatan, mereka teratur dan sudah bersedia dan tidak akan menyerah kalah, atau berundur."

Menurut Encik Lee, percaturan pembangkang kali ini tidak mengejutkan dan ia semakin jelas kawasan undi mana yang ingin ditandingi dan yang mana satu yang lebih mendapat perhatian mereka.

Menurut Encik Lee, PAP juga tidak mahu mendedahkan pasukannya bagi GRC East Coast sebelum Hari Penamaan Calon - begitu juga bagi sebilangan kawasan undi lain - sebagai satu keputusan strategik.

UJIAN ATAU STRATEGI BERISIKO?

Encik Lee turut menyangkal andaian yang berpendapat bahawa Encik Heng dipindahkan ke GRC East Coast untuk membuktikan keupayaannya.

Apabila ditanya sama ada ia berisiko untuk meletakkan seorang timbalan perdana menteri di 'medan perang' yang dijangka sengit, Encik Lee berkata "dalam sesebuah pilihan raya anda berjuang untuk menang, tetapi anda sendiri tidak pasti sama ada anda akan menang".

"Kami menghantar seseorang yang kami yakin beliau mempunyai peluang yang baik untuk menang dan saya yakin Swee Keat akan berusaha dengan sedaya upaya untuk memastikan beliau mendapat keputusan yang baik di East Coast," kata Encik Lee.

GRC WEST COAST

Menyentuh pula tentang Encik Desmond Lee yang berpindah ke GRC West Coast, yang kini mempunyai dua menteri selepas Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran juga akan bertanding di sana, Encik Lee berkata ia "bukan sesuatu yang sangat mengejutkan".

Para pemerhati menjangkakan persaingan sengit di West Coast di mana PAP akan berdepan dengan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang dipimpin mantan AP Ayer Rajah Tan Cheng Bock.

Encik Lee juga menyentuh tentang ketiadaan calon kaum India dalam kalangan calon PAP kali ini, dengan menegaskan bahawa PAP membariskan calon yang seimbang pada setiap pilihan raya.

Penolong Setiausaha Agung Kedua PAP Chan Chun Sing sebelum ini ada mengatakan bahawa anggota India dalam penggal Pemerintah lalu tidak melepaskan jawatan atau mengundurkan diri dan ini bermakna barisan kali ini masih seimbang.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan