Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

DPM Heng akan umum langkah sokongan ketiga dalam "Belanjawan Kesepakatan"

Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan mengumumkan pusingan ketiga langkah-langkah sokongan sebagai respons kepada pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Apr 2020 04:49PM Dikemas Kini : 05 Apr 2020 08:43PM

SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat akan mengumumkan pusingan ketiga langkah-langkah sokongan sebagai respons kepada pandemik COVID-19.

Belanjawan Kesepakatan baru itu akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin (6 Apr) bertujuan membantu perniagaan, pekerja dan keluarga mengharungi cabaran virus korona itu.

Singapura menutup sekolah dan sebahagian besar tempat kerja selama sebulan "buat kali pertama dalam sejarah" bagi membendung penularan virus itu, kata Encik Heng dalam catatan Facebook hari ini (5 Apr).

"Situasi COVID-19 semakin bertambah buruk, di peringkat global dan dalam negeri," katanya. "Langkah-langkah lebih tegas perlu diambil untuk melindungi nyawa, namun ekonomi terjejas akibatnya."

"Esok menandakan pusingan ketiga langkah-langkah sokongan diumumkan dalam masa kurang dua bulan - selepas Belanjawan Perpaduan dibentangkan pada 18 Feb dan Belanjawan Berdaya Tahan pada 26 Mac. Ini juga merupakan satu lagi yang dilakukan buat julung-julung kalinya."

Encik Heng yang juga Timbalan Perdana Menteri, menggesa rakyat Singapura supaya bersatu padu sebagai satu masyarakat dan "tetap teguh dalam menghadapi krisis ini".

"Oleh itu saya akan menamakan langkah-langkah bagi membantu kita mengharungi "tempoh memutuskan rantaian jangkitan ini" sebagai Belanjawan Kesatuan," katanya. "Perpaduan, Daya Bertahan, Kesepakatan - ini adalah nilai-nilai yang menentukan siapakah kita sebagai individu."

"Hubungan yang menyatukan kita akan terjalin dan diperbaharui dalam krisis ini, sama seperti tahun-tahun kemerdekaan yang menyatukan generasi perintis kita.

"Sedang kita meneruskan perang COVID-19, kami bersyukur bahawa generasi sebelum ini telah membuat simpanan dan membina asas kukuh bagi kita. Kekuatan ini memberikan kita dana untuk melindungi rakyat dan memberikan mereka pekerjaan."

Menggambarkan tempoh sekarang ini sebagai "babak penentu generasi kita," Encik Heng menambah Singapura akan mengharunginya bersama dan muncul lebih teguh bersama.

"Bersama, kita akan mengharungi dan tampil lebih teguh. Apabila ribut ini berakhir, seperti semua ribut, saya yakin kita akan tampil sebagai sebuah masyarakat lebih teguh, kita akan membina masa depan lebih baik untuk anak-anak dan cucu kita."

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan