Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Doktor tidak perlu beritahu pesakit setiap satu kemungkinan kesan sampingan: Lam Pin Min

Para doktor tidak perlu mendapatkan izin seorang pesakit bagi setiap kesan sampingan atau kerumitan berkaitan ubat atau rawatan, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan, Lam Pin Min di Parlimen pada Isnin (11 Feb). 

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor tidak perlu beritahu pesakit setiap satu kemungkinan kesan sampingan: Lam Pin Min

(Gambar: Pixabay)

Diterbitkan : 11 Feb 2019 03:35PM Dikemas Kini : 11 Feb 2019 03:38PM

SINGAPURA: Para doktor tidak perlu mendapatkan izin seorang pesakit bagi setiap kesan sampingan atau kerumitan berkaitan ubat atau rawatan, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan, Lam Pin Min di Parlimen pada Isnin (11 Feb).

Dr Lam berkata demikian sebagai menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh para Anggota Parlimen (AP) berhubung kes pakar bedah ortopedik, Dr Lim Lian Ann yang baru-baru ini dikenakan denda maksimum S$100,000 kerana gagal mendapatkan persetujuan berdasarkan pengetahuan mencukupi di pihak pesakit, sebelum beliau memberinya suntikan.

Para AP bertanya sama ada kini, seorang doktor wajib mendapatkan izin seorang pesakit bagi setiap kemungkinan kesan sampingan dan kerumitan, dan jika ini akan menyebabkan para doktor mengamalkan "perubatan defensif".

"Kesimpulan bahawa keputusan (tribunal disiplin) itu mewajibkan seorang doktor mendapatkan izin seorang pesakit bagi setiap kemungkinan kesan sampingan dan kerumitan daripada ubat atau rawatan itu tidak tepat," kata Dr Lam.

Bagi kes pakar bedah ortopedik berkenaan, Dr Lam menerangkan ia bukan disebabkan maklumat yang tidak cukup. Sebaliknya, ia disebabkan Dr Lim gagal untuk memberitahu pesakitnya tentang sebarang kesan sampingan langsung.

Di bawah garis pandu yang ditetapkan, para doktor perlu mendedahkan maklumat relevan dan penting kepada para pesakit mereka, manakala risiko yang terpencil dengan kesan sampingan kecil dianggap tidak penting dan tidak perlu diterangkan, kata Dr Lam.

"Apa yang perlu diberitahu oleh doktor kepada pesakitnya tentang sesuatu rawatan atau prosedur bergantung kepada fakta khusus setiap kes dan keadaan pesakit."

DENDA MAKSIMUM TERLALU BERAT?

Dr Lam akui ramai doktor secara objektif akan beranggapan denda yang dikenakan ke atas Dr Lim adalah berat.

"Terdapat keprihatinan di kalangan karyawan perubatan tentang denda maksimum yang dikenakan dan bagaimana penggantungankhidmat juga dipertimpangkan pada satu masa. Keprihatinan ini boleh difahami apabila diambil kira fakta dan keadaan kes," kata beliau.

Jawatankuasa Garis Panduan Hukuman yang dilantik pada 1 Januari akan membantu memastikan hukuman yang konsisten dan adil dikeluarkan serta memperbaiki ketelusan dan kerapian proses disiplin, tambah Dr Lam.

"Kementerian saya akan mempertimbangkan secara teliti apakah langkah-langkah yang perlu untuk mengekalkan kepercayaan antara para pesakit, doktor, SMC dan MOH," tambah beliau. 

Sumber : CNA/EM/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan