Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Doktor terbabit pembocoran data HIV digantung khidmat 9 bulan

Seorang doktor yang terbabit dalam kes pembocoran data HIV di Singapura mungkin dikenakan tindakan disiplin lanjut selepas pendaftarannya sebagai pengamal perubatan digantung selama sembilan bulan, menurut Majlis Perubatan Singapura (SMC) pada Selasa (12 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor terbabit pembocoran data HIV digantung khidmat 9 bulan

Gambar Ler Teck Siang. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 14 Mar 2019 10:46PM Dikemas Kini : 14 Mar 2019 10:48PM

SINGAPURA: Seorang doktor yang terbabit dalam kes pembocoran data HIV di Singapura mungkin dikenakan tindakan disiplin lanjut selepas pendaftarannya sebagai pengamal perubatan digantung selama sembilan bulan, menurut Majlis Perubatan Singapura (SMC) pada Selasa (12 Mac).

Ler Teck Siang didapati bersalah pada September 2018 kerana membantu pasangannya, Mikhy Farrera-Brochez, menipu Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengenai status positif-HIVnya, serta memberikan maklumat palsu kepada Kementerian Kesihatan (MOH) dan polis.

SMC menyatakan bahawa tempoh penggantungan itu, yang berkuat kuasa pada 7 Mac, diarahkan oleh Jawatankuasa Perintah Sementara (IOC).

Majlis berkenaan mengeluarkan kenyataan itu selepas hakim Mahkamah Tinggi menolak rayuan Ler terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara selama dua tahun yang dikenakan ke atasnya.

Menurut SMC, ia akan "menilai semula perkara itu" dan menimbangkan "tindakan disiplin lanjut" terhadap lelaki berusia 37 tahun itu. Ler dijangka mula menjalani hukuman penjara pada 21 Mac.

SMC TIMBANG SABITAN KESALAHAN SERIUS

Selain sabitan kesalahan itu, SMC juga diberitahu tentang empat lagi dakwaan yang dihadapi Ler berkaitan dadah dan pengurusan maklumat peribadi.

Pada 30 Januari, SMC menerima maklumat daripada MOH mengenai tuduhan yang akan dikenakan ke atas Ler, di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana gagal untuk mengendalikan maklumat daftar HIV dengan sewajarnya.

Ler juga berdepan dengan tiga tuduhan berkaitan dadah kerana dipercayai mengedarkan dadah methamphetamine kepada seorang lelaki di sebuah hotel, serta gagal untuk memberikan sampel air kencing kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) dan memiliki peralatan dadah.

Dia meminta dibicarakan bagi tuduhan dadah tersebut, dan akan dihadapkan di mahkamah pada Mei.

Tempoh sijil pengamalan (PC) Ler sudahpun berakhir pada 31 Dis dan proses pembaharuan sijil itu sedang dikaji semula oleh SMC.

Majlis itu menyatakan meskipun ia menyedari tentang rayuan Ler dan dakwaan ke atasnya yang belum digugurkan, ia "mempertimbangkan betapa serius sabitan kesalahan tersebut dan dakwaan lain yang dikenakan ke atas Dr Ler."

SMC juga menimbangkan kepentingan mengekalkan keyakinan awam dalam bidang perubatan sedang prosiding jenayah terhadap Ler dijalankan.

Ler akan mula menjalani hukuman penjara selama dua tahun pada 21 Mac. Dia kini dibebaskan atas ikat jamin sebanyak S$40,000. 

Pasangannya, Brochez, dituduh membocorkan data peribadi seramai 14,200 orang yang positif-HIV dari daftar HIV Singapura. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan