Images
  • nuhs dementia

Diperluaskan: Inisiatif NUHS bantu warga tua cegah demensia

SINGAPURA: Satu program senaman untuk membantu warga senja menghindari demensia dan menjadi lebih sihat, bakal diluaskan.

Inisiatif tersebut, yang dikendalikan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), dijangka memanfaatkan lebih 2,000 warga emas berbanding sekitar 700 orang sebelum ini.

Program senaman itu diadakan di 37 tempat termasuk pusat kegiatan warga senja serta kelab masyarakat, kebanyakannya di bahagian barat Singapura. Matlamatnya adalah untuk mengadakan program itu di 130 tempat dalam masa tiga tahun ini.

Gerak senaman di bawah program tersebut direka untuk membantu warga senja melakukan tugas harian mereka dengan menggabungkan kegiatan fizikal dan mental. Misalnya, menghentak kaki sambil melakukan permainan yang menguji ingatan.

"Dengan program ini, kita dapat menikmati satu perkara di mana kita harus ingat kembali apa yang kita buat. Jadi saya buat seperti ini, saya jadi lebih baik, kepala saya pun jadi baik, saya boleh ingat," kongsi salah seorang peserta.

NUHS menyatakan sesetengah warga tua yang sudahpun menyertai senaman-senaman tersebut didapati kurang mengalami kemurungan dan juga dapat mengekalkan ingatan mereka dengan lebih baik. Bahkan, mereka juga lebih cergas berbanding sebelum ini. 

- CNA/FZ/fz

Top