Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Dilarang ke kubur dek COVID-19? Ini ada khidmat bersihkan kubur, letakkan bunga

Penjual bunga Melayu/Islam dari kedai Leah Flower Shop tiga sekawan tawar khidmat bersihkan kubur.

Anggaran Waktu Membaca:
Dilarang ke kubur dek COVID-19? Ini ada khidmat bersihkan kubur, letakkan bunga

Encik Rohaizat tawarkan khidmat untuk bantu masyarakat. (Gambar-gambar: Rohaizat Roza)

BERITAmediacorp: Lazimnya dalam minggu akhir Ramadan seperti sekarang ini hinggalah ke Hari Raya pertama dan kedua, masyarakat Islam setempat akan beramai-ramai menziarahi kubur anggota keluarga masing-masing.

Tujuannya, membersihkan kubur daripada rumput liar dan merapikan kubur, atau meletakkan bunga ke pusara orang-orang tersayang yang sudah terlebih dahulu meninggalkan kita.

Namun tahun ini, tradisi itu tidak dapat dilakukan dek larangan pihak berkuasa kerana peraturan ketat di bawah langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 di Singapura.

Sebenarnya kini anda masih boleh meletakkan jambangan bunga atau membersihkan kubur berkenaan - tanpa menjejakkan kaki ke tanah pusara!

Iaitu menerusi khidmat yang ditawarkan tiga sekawan ini - Encik Rohaizat Roza, Cik Siti Sahidah Abdul Rahman Baikil dan Encik Abu Karthi.

Dengan harga antara $20 dengan $40 sahaja, kubur anggota keluarga anda boleh dibersihkan lengkap dengan taburan bunga-bunga segar.

SUDAH TEMPAH BUNGA BERNILAI S$2,000 TAPI TAK DAPAT JUAL...

Khidmat ini sebenarnya tidak dirancang-rancang lebih awal. Bak kekata Inggeris yang berbunyi 'necessity is the mother of all invention', begitu jugalah perniagaan membersihkan kubur yang mereka tawarkan ini.

Tiga sekawan itu sebenarnya adalah penjual bunga Melayu/Islam dari kedai Leah Flower Shop yang terletak di tanah perkuburan Kristian. Semasa musim Ramadan mereka juga rancak menyediakan bekalan bunga untuk Pusara Abadi dan Pusara Aman.

Mereka sudah terlebih awal menempah bunga-bunga segar bernilai lebih $2,000 sebagai persediaan bagi musim ziarah kubur sekarang ini.

Malangnya, kedai mereka diarahkan tutup oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) kerana ia bukan dalam kategori khidmat penting (essential service) ekoran langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 yang lebih ketat.

Mereka terperangkap dek keadaan.

"Saya baru empat bulan bekerja di kedai itu. Siti Shahidah pernah ceritakan kepada saya biasanya bulan Ramadan kita akan sibuk sangat. Ramai orang akan datang kubur beli bunga," kata Encik Rohaizat, yang baru empat bulan bekerja di kedai Leah Flower Shop.

Mentelah lagi, rakan kongsinya, Siti Sahida seorang ibu tunggal dengan tiga anak. Encik Abu pula adalah bapa saudara Siti Sahida.

Yang pasti mereka enggan berserah kepada nasib dengan berpeluk tubuh sahaja.

"Dari situ kami berfikir macam mana nak dapat pendapatan. Mana nak bayar bunga, mana nak bayar kedai....bimbang, tidak pasti mana hendak dapatkan bantuan," luah Encik Rohaizat, 31 tahun.

Lantaran itu, Encik Rohaizat mencadangkan agar mereka meneruskan perniagaan secara online dan menawarkan khidmat meletakkan bunga di kubur-kubur anggota keluarga pelanggan.

Malangnya, permohonan itu tidak mendapat kelulusan NEA dan juga Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) sehinggalah Encik Rohaizat mendapatkan bantuan Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin.

Encik Amrin dan Encik Rohaizat kemudian bekerjasama dengan NEA, MTI dan Setiausaha Parlimen Kanan MTI Tan Wu Meng untuk mendapatkan kelulusan menawarkan khidmat secara tersebut secara 'contactless' (tanpa bersentuhan antara penjual dengan pembeli) serta menawarkan khidmat pembersihan asas kubur.

Kisah beliau itu turut diceritakan Encik Amrin dalam catatan Facebook beliau semalam (20 Mei).

SUDAH TERIMA LEBIH 60 TEMPAHAN

Akhirnya, tiga hari lalu (19 Mei), permohonan Encik Rohaizat diluluskan dengan syarat perniagaannya perlu mematuhi pelbagai langkah pencegahan.

Hasilnya kini memberangsangkan. Beliau sudah mula menerima banyak tempahan.

"Minggu lalu, pada 14 Mei saya sudah menerima sekitar 30 tempahan khidmat. Selepas permohonan saya diluluskan, jumlah permintaan melonjak kepada lebih 60," kongsi Encik Rohaizat.

Malah, sedang BERITAmediacorp mewawancara beliau menerusi panggilan telefon, Encik Rohaizat mendedahkan beliau masih menerima tempahan dan belum sempat membalas semuanya.

PERINCIAN KHIDMAT YANG DITAWARKAN

Encik Rohaizat menawarkan dua khidmat berbeza.

Pertama, hanya meletakkan bunga di pusara. Bagi khidmat ini, Encik Rohaizat akan meletakkan bunga pada batu nisan, menabur bunga atas kubur dan menggantikan kain putih batu nisan. Khidmat pertama ini berharga $20.

Kedua, Encik Rohaizat boleh melakukan kerja-kerja pembersihan asas. Ini termasuk memotong rumput dan lalang atau mencantas tumbuh-tumbuhan sehingga rapi keadaan kubur. Kemudian beliau akan meletakkan bunga pada batu nisan, menabur bunga atas kubur dan menggantikan kain putih batu nisan.

"Secara jujur, sekarang ini semuanya bukan dibersihkan secara asas. Sebaliknya banyak kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan kerana sudah berapa lama orang tak datang," Encik Rohaizat memberitahu BERITAmediacorp.

Khidmat ini berharga antara $30 dengan $40 bergantung kepada berapa banyak kerja yang perlu dijalankan.

"Saya tidak mahu mengenakan yuran yang terlampau tinggi. Tujuan utama saya melakukan kerja ini adalah untuk memastikan perniagaan menjual bunga dapat bertahan dan untuk menyokong rakan-rakan kongsi saya," ujar beliau, sambil menambah bahawa bayaran perlu dibuat hanya selepas kubur dibersihkan.

Encik Rohaizat juga akan mengambil gambar dan video untuk dikirimkan kepada pelanggan untuk menunjukkan keadaan kubur sebelum dah sesudah dibersihkan. 

KHIDMAT TETAP DITERUSKAN WALAU PADA HARI RAYA PERTAMA

Encik Rohaizat menambah, beliau menjalankan kerja-kerja pembersihan dan menabur bunga di kuburan mengikut blok demi blok.

Anggota keluarga akan dimaklumkan tentang kubur yang sudah selesai dibersihkan dalam tempoh antara satu dengan tiga hari daripada hari tempahan khidmat dibuat.

Dengan Hari Raya yang bakal menjelang, Encik Rohaizat berkata kerja-kerja pembersihan dan meletakkan bunga akan terus dijalankan walaupun dalam bulan Syawal, selagi masih ada permintaan dan sehingga habis tempoh 'circuit breaker'.

Ini bermakna, beliau tidak akan bercuti.

"Berapa banyak yang saya boleh saya akan buat. Walau Hari Raya pertama sekalipun saya tetap akan lakukannya. Saya buat juga sebab kesian dengan masyarakat kita tak dapat ziarah kubur," kata Encik Rohaizat.

Yang pasti, ini suatu khidmat saling menguntungkan atau win-win antara pelanggan dengan Encik Rohaizat dan rakan-rakan.

(Bagi anda yang mahu mendapatkan khidmat Leah Flower Shop itu, boleh WhatsApp di talian 8488 7254.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini bulan Ramadan: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan